PETALING JAYA : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama rakyat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.
Keberangkatan Seri Paduka disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kemudian bersama-sama jemaah bertakbir sebelum menunaikan solat.
Al-Sultan Abdullah dan jemaah kemudian menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Muhyidin Aziz Saari.
Sejurus selesai khutbah Aidilfitri, Seri Paduka beramah mesra dengan jemaah.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad dan barisan Jemaah Menteri.
Sejak dua tahun negara dan dunia dilanda Covid-19, hari ini merupakan satu detik bermakna bagi rakyat kerana berpeluang merayakan Aidilfitri dengan bebas tanpa halangan seperti mana sebelum ini.– UTUSAN