MELAKA: Aplikasi ADIL yang diguna pakai pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 berkemungkinan disalah guna untuk proses pengundian tidak berdaftar, dakwa calon Naib Presiden, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin.
Menurut beliau, dakwaannya itu adalah berasas di mana nama seorang pengundi lelaki warga emas berusia 70-an telah didaftarkan dalam aplikasi tersebut untuk proses pengundian hari ini.
“Setelah disemak dalam sistem, lelaki tersebut mendaftar pengundian dalam talian sedangkan dia sendiri memakai telefon lama dan tiada talian internet. Bila kita hubungi nombor dalam daftar berkenaan, ia milik seorang anak muda yang tiada kaitan langsung dengan warga emas itu.
“Saya lihat ini adalah antara kelemahan aplikasi yang harus diberi perhatian. Walaupun kes terpencil, tetapi ia melibatkan hak orang lain untuk mengundi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian Cabang Hang Tuah Jaya di sini hari ini.
Proses pengundian fizikal atau e-Voting bersemuka itu melibatkan kira-kira 27,000 ahli PKR yang layak membabitkan enam cabang di Melaka iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Kota Melaka, Hang Tuah Jaya dan Jasin.
Pengundian dalam talian pula akan berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Mei melibatkan 3,000 ahli.
Tambah Shamsul Iskandar, kebarangkalian digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab juga merupakan antara kelemahan aplikasi ADIL.
Katanya, jika tidak diatasi, ia akan memberi kesan kepada integriti proses pengundian.
“Saya percaya apabila melibatkan sistem dalam talian, orang boleh godam untuk ganggu pengundian. Kalau orang undi saya, bila tekan dia pergi undi orang lain pula. Saya percaya ini antara kelemahan yang Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) perlu beri perhatian segera,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya. – UTUSAN