Ada sebab jagung manis tidak sesuai jadi dedak ayam

Ada sebab jagung manis tidak sesuai jadi dedak ayam

PROJEK tanaman jagung bijian skala besar pernah dilaksanakan di Kedah dan Terengganu sebelum dibatalkan pada 2018. - Foto ihsan Jabatan Pertanian
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR) menempelak saranan pihak tertentu yang mempersoalkan kenapa jagung manis tidak boleh dijadikan dedak ayam.

Pengerusinya, Hussain Jaapar berkata, cadangan kelompok terbabit bukan sahaja dianggap lucu, malahan membuktikan kejahilan dalam pengurusan ternakan komersial berskala besar.

“Hanya orang tidak cerdik akal yang akan cadang ayam untuk makan jagung manis, walhal di seluruh dunia, dedak lazim digunakan ialah jagung bijian sahaja,” katanya ketika dihubungi  semalam.

Isu ayam menjadi perhatian akhir-akhir ini susulan kekurangan bekalan di pasaran dan trend lonjakan harga dengan penternak dipersalahkan kerana didakwa cuba menekan pengguna.

Golongan itu dikatakan sengaja membuat konspirasi dengan mengurangkan bekalan ketika permintaan tinggi perayaan sebagai protes kerana marah lambat menerima inisiatif subsidi.

Bagaimanapun, bekas Menteri Pertanian, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini membongkar punca sebenar isu itu ialah kos dedak daripada jagung luar negara yang mahal.

Pendedahan itu menerima pelbagai reaksi warganet yang hairan Malaysia perlu mengimport jagung bijian sedangkan jagung manis banyak dijual murah di pasar malam dan pasar tani.

Mengulas lanjut, Hussain berkata, seperti ruminan iaitu lembu, kerbau dan kambing, ayam juga kena makan dedak jagung bijian kerana lebih sesuai dari segi kesihatan dan tumbesaran.

“Bukan sebab penternak syok sendiri hendak beri jagung mahal dan jika tidak percaya, cuba tabur jagung manis, saya jamin bukan setakat ayam, lembu pun akan jatuh sakit,” jelasnya.

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak lupa mengenai projek tanaman jagung bijian secara komersial yang pernah dilakukan Jabatan Pertanian di Kedah pada akhir 2016.

Program itu kemudian dilaksanakan di Terengganu pada 2017 yang dilancarkan sendiri oleh Ahmad Shabery dengan matlamat agar Malaysia tidak perlu lagi mengimport jagung bijian.

Malangnya ujar beliau, projek mega itu dibatalkan apabila Pakatan Harapan berkuasa pada 2018 dengan alasan kononnya pembaziran duit rakyat tanpa difikirkan kesan jangka panjang.

Akibatnya tegas Hussain, Malaysia terpaksa mengimport 100 peratus jagung bijian sebanyak empat juta tan setiap tahun dengan nilai kerugian lebih RM3.1 bilion mengalir ke luar negara.

“Bayangkanlah jika projek itu diteruskan, hari ini tidak perlu risau terputus bekalan dedak atau takut kos amat tinggi, bahkan boleh ternak lebih banyak ayam serta ruminan lain,” katanya.

Kelazimannya, bahan dedak merangkumi 70 peratus daripada kos keseluruhan penternakan, manakala baki pula melibatkan upah pekerja, bil utiliti, selenggara premis dan caj ubat-ubatan.

Sehubungan itu, beliau menyangkal persepsi negatif yang menganggap konon ada konspirasi para penternak bagi memanipulasi harga padahal industri tersebut memang sudah lama tenat.

Mereka jelasnya, telah lama menyerap kenaikan kos agar harga runcit tidak membebankan pengguna akhir walaupun menanggung kerugian teruk dan terpaksa menagih ihsan kerajaan.

Kajian Jabatan Pertanian menunjukkan negara memerlukan lebih 200,000 hektar tanah bagi penanaman jagung bijian dengan unjuran 6.5 tan per hektar bagi setiap kali musim penuaian.

Pada ketika ini, hanya Pahang, Terengganu dan Sabah yang ada ladang jagung bijian dengan keluasan keseluruhan cuma sekadar 76 hektar dan pengeluaran sebanyak 92 tan setahun.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya