PASIR PUTEH: Kira-kira 40 pesawah di Bendang Tasek Pauh, di sini ‘berputih mata’ apabila lebih 80 hektar tanaman padi mereka tidak sempat dituai akibat ranap dan rebah dibadai ribut kencang setiap hari sejak seminggu lalu.
Tanaman padi varieti nuklear NMR152, MR303 dan padi U-Putra itu sudah berusia 90 hari, namun gagal dituai menggunakan jentera kerana sebahagian besarnya rebah sehingga ditenggelami air.
Wakil petani kawasan itu, Suhaimi Abdul Rashid berkata, kadar anggaran kerugian keseluruhan dialami mereka mencecah RM600,000.
Katanya, pada musim lepas mereka berjaya memperoleh RM4,000 untuk setiap 0.46 hektar padi diusahakan berbanding musim ini hanya RM100 hingga RM200 bagi keluasan sama.
“Hasil tuaian hanya satu hingga dua guni untuk setiap 0.46 hektar ketika ini gagal menampung bayaran hutang benih padi kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang mencecah ribuan ringgit. Ia menjadi beban kepada kami.
“Perubahan cuaca adalah di luar jangkaan kami. Sepatutnya bulan Mei adalah musim kemarau, namun, hujan berterusan sejak Februari lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Bendang Tasek Pauh, di sini hari ini.
Tambah Suhaimi, musibah sama pernah dialami enam musim lalu, namun kerugiannya tidak seteruk musim ini yang turut dilanda fenomena angin Barat Daya yang kencang bersama hujan lebat.
Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Jawa, Mohd. Khairul Azmi Yaso’, berkata, KADA telah dimaklumkan mengenainya sebelum menyenaraikan petani bersama keluasan bendang yang terlibat.
“Diharap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan boleh membantu bagi membolehkan petani yang kehabisan modal meneruskan semula penanaman padi untuk musim akan datang,” katanya. – UTUSAN