PETALING JAYA: Lapan cabang PKR di empat negeri dijangka mengadakan pengundian semula susulan masalah teknikal dan isu salah faham dalam proses Pemilihan PKR 2022 yang bermula 13 Mei lalu.
Ia dipercayai membabitkan lima cabang di Kelantan manakala satu cabang di Terengganu, Selangor dan Kedah.
Cabang yang terlibat didakwa melibatkan cabang Bachok, Gua Musang, Tumpat, Pengkalan Chepa, Keterah, Dungun, Hulu Selangor dan Padang Serai.
Difahamkan, situasi yang berlaku itu mempunyai kaitan dengan aplikasi ADIL yang digunakan PKR dalam proses pengundian secara dalam talian.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr. Zaliha Mustafa dilapor berkata, keputusan tidak rasmi pemilihan diramal tidak dapat diketahui pada 23 Mei ini seperti mana jangkaan awal sebelum ini.
Sebaliknya, beliau berkata, keputusan tidak rasmi itu berkemungkinan diketahui selepas kesemua cabang yang terlibat selesai melakukan pengundian semula. – UTUSAN