GEORGETOWN: Seramai lima graduan sulung Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran dari Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia menjadi duta bagi universiti berkenaan untuk mempromosi jurusan tersebut kepada masyarakat.
Kelima-lima mereka, Mohd. Hafeez Azwan Mohd. Azmi, 36; Nik Mohd. Hafizullah Nik Zulkifli, 33; Muhammad Ali Hydar Othman, 30; Aaron Saw Seng Tatt, 40, dan Muhamad Fakhrul Reza Faizul, 29, merupakan antara 468 graduan yang diraikan dalam upacara Konvokesyen ke-59 USM yang bermula hari ini hingga 31 Mei (sebelas sidang) di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM di sini.
Menurut Nik Mohd. Hafizullah, masyarakat di negara ini masih belum terdedah dengan kepentingan kursus serta prospek kerjaya berkaitan keselamatan kebakaran memandangkan masih kurang pendedahan mengenai kursus berkenaaan di negara ini.
Katanya, disebabkan itu kelima-lima mereka tidak keberatan untuk menjadi duta USM secara sukarela sekiranya diperlukan bagi mempromosi bidang berkenaan.
“Secara umumnya apabila kita mendengar mengenai keselamatan kebakaran ramai yang menyangka ia hanya berkaitan dengan bomba sahaja sedangkan bidang kerjaya dalam bidang keselamatan kebakaran amat luas.
“Bidang keselamatan kebakaran merupakan salah satu cabang kejuruteraan yang perlu para pelajar di negara ini teroka selepas USM menjadi universiti pertama di Asia Tenggara menawarkan kursus ini selain universiti di United Kingdom (UK), Hong Kong dan Australia,” katanya dalam sidang akhbar selepas sidang kedua upacara konvokesyen ke-59 USM di DTSP, di sini hari ini.
Sejumlah 6,706 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Kehormat (dua), Profesor Emeritus (lima), Ijazah Tinggi PhD dan Sarjana (2,231), Ijazah Sarjana Muda (4,475) dan Diploma Kejururawatan (50) dalam upacara konvokesyen kali ini.
Menurutnya, antara kerjaya yang boleh diceburi bagi mereka yang mengikuti jurusan keselamatan kebakaran adalah seperti perunding keselamatan kebakaran di syarikat multinasional, pegawai keselamatan kebakaran dan pekerjaan lain yang memerlukan rundingan keselamatan kebakaran.
“Kami mengambil masa setahun untuk menamatkan pengajian walaupun berdepan dengan kesukaran kerana pandemik Covid-19.
“Sepanjang pengajian kami belajar secara dalam talian dan hanya sekali sahaja mengikuti kelas secara bersemuka, namun ia tidak menjadi halangan untuk kami terus belajar sehingga tamat kursus,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Ali Hydar berkata, kesedaran masyarakat negara ini mengenai kepentingan menjaga keselamatan kebakaran juga masih rendah berbanding negara lain.
“Kita dapat lihat pembudayaan keselamatan kebakaran masih kurang, jadi dengan jurusan baharu yang ditawarkan di USM ini kita boleh sampaikan mesej kepada masyarakat yang mana adalah penting untuk kita menjaga keselamatan kebakaran di rumah dan di tempat kerja,” katanya. – UTUSAN