IPOH: Seramai 226 penduduk dari tujuh kawasan di daerah Batang Padang dan Muallim dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air semalam.
Jumlah mangsa banjir membabitkan 67 keluarga itu direkodkan setakat pukul 8 pagi ini.
Semua penduduk berada di PPS sejak malam semalam selepas hujan lebat berterusan pada sebelah petang menyebabkan kawasan sekitar mengalami banjir kilat.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, kawasan yang terlibat ialah Kampung Rasau, Kampung Trolak Pekan, Taman Slim Permai, Kuala Slim, Sungai Klah Baru, Trolak Selatan dan pusat jagaan Rumah Sejahtera di Bidor.
Katanya, tujuh PPS dibuka iaitu di Sekolah Agama Rakyat Kampung Rasau, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Trolak Pekan, Pejabat Kemas Tanjung Malim, Sekolah Kebangsaan Kuala Slim, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Bidor, Dewan Sungai Klah Baru dan Dewan Semai Bakti Trolak Selatan.
“Hujan lebat selama beberapa jam petang semalam menyebabkan rumah penduduk yang terletak di kawasan rendah mula dinaiki air. Kesemua mereka termasuk dua bayi terpaksa dipindahkan ke PPS yang dibuka malam tadi,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini. – UTUSAN