TANJUNG MALIM: Seorang penternak arnab mengalami kerugian lebih RM5,000 selepas beratus ekor arnab ternakannya mati dalam kejadian banjir lumpur di Felda Trolak Selatan dekat sini semalam.
Zarina Daud, 39, yang merupakan pemilik Arnab De’ Trolak berkata, ketika kejadian pada kira-kira pukul 2.30 petang, dia berada di Serendah dan segera pulang selepas menerima panggilan daripada orang tuanya mengenai banjir yang berlaku.
Menurut Zarina, setibanya di kediaman orang tuanya, dia melihat kandang arnabnya sudah dinaiki air dan dia tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa ke belakang rumah untuk menyelamatkan binatang ternakannya atas faktor keselamatan.
“Saya hanya mampu melihat kandang arnab saya dari jauh di jalan raya dan memikirkan adakah ternakan saya selamat.
“Selepas beberapa jam menanti akhirnya sekitar pukul 7 malam air sudah surut dan saya ke kandang arnab dan hanya mampu melihat banyak ternakan yang mati,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Trolak Selatan di sini hari ini.
Zarina berkata, dia kemudian segera mengasingkan arnab yang sudah mati dan yang hidup dan mencuci kandang bagi mengelakkan berlaku sebarang jangkitan penyakit akibat banjir.
Katanya, setakat pagi ini lebih 200 daripada 300 ekor arnab ternakannya mati dalam banjir.
“Kebanyakan arnab yang mati merupakan arnab pedaging sekitar 80 peratus dan mana yang hidup pula kebanyakkan arnab hiasan yang diletakkan di dalam reban di kawasan yang tinggi,” katanya.
Katanya, dia lega kerana sempat memindahkan arnab yang sudah ditempah pelanggan ke kediamannya di Serendah sebelum kejadian banjir tersebut.
Meskipun mengalami kerugian, Zarina berkata, dia reda dengan kejadian itu dan menerimanya dengan hati terbuka serta beranggapan bahawa ada rezeki yang lebih baik menantinya.
Katanya, buat masa ini, dia ingin memberi tumpuan untuk menanam arnab yang mati serta menjalankan kerja-kerja pembersihan kandang ternakannya itu yang dianggarkan mengambil masa hampir seminggu.
“Tipulah kalau saya kata tidak sedih, tetapi saya kena kuat dan percaya ada rezeki lain Allah nak beri dengan apa yang terjadi,” katanya.
Dalam kejadian petang semalam, beberapa kawasan di Tanjung Malim termasuk Felda Trolak Selatan mengalami banjir dipercayai akibat kepala air hingga memasuki kediaman penduduk sekitar pukul 2.30 petang semalam.
Sehingga pagi ini, seramai 226 penduduk daripada tujuh kawasan di Daerah Batang Padang dan Mualim dipindahkan ke tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air sejak semalam.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, kawasan yang terlibat ialah Kampung Rasau, Kampung Trolak Pekan, Taman Slim Permai, Kuala Slim, Sungai Klah Baru, Trolak Selatan dan pusat jagaan Rumah Sejahtera di Bidor.
Katanya, tujuh PPS dibuka iaitu di Sekolah Agama Rakyat Kampung Rasau, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Trolak Pekan, Pejabat Kemas Tanjung Malim, Sekolah Kebangsaan Kuala Slim, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Bidor, Dewan Sungai Klah Baru dan Dewan Semai Bakti Trolak Selatan. – UTUSAN