20 penduduk Kampung Paya buntu diarah kosongkan rumah hingga pertengahan bulan depan - Utusan Malaysia

20 penduduk Kampung Paya buntu diarah kosongkan rumah hingga pertengahan bulan depan

SEBAHAGIAN penduduk Kampung Paya, Teluk Kumbar, Pulau Pinang mengadakan bantahan aman bagi membantah arahan pengosongan rumah mereka di hadapan bangunan DUN di Georgetown hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Lebih 20 penduduk di Kampung Paya, Teluk Kumbar di sini resah memikirkan nasib dan masa depan mereka yang diarah mengosongkan kediaman masing-masing sehingga 17 Jun ini.

Majoriti mereka yang merupakan warga emas dan bekerja sebagai nelayan serta ibu tunggal adalah sebahagian daripada lebih 60 penduduk di kawasan itu yang mula menerima arahan pengosongan pada 2017.

Difahamkan, tanah kampung tersebut yang didiami mereka secara sewa tahunan lebih 50 tahun lalu dijual pemilik asal kepada syarikat pemaju yang mahu membangunkannya dengan projek komersial.

Menurut salah seorang penduduk, Malik Mohamad Sharif, 59, dia serta lebih 20 penduduk yang masih tinggal di kampung tersebut merayu pihak berkaitan khususnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut melihat kepada aspek kebajikan mereka sebelum mengambil langkah pengusiran.

Jelasnya yang bekerja sebagai nelayan, keluarganya yang sudah tinggal di kampung itu lebih daripada tiga generasi tidak mempunyai tempat lain untuk dituju atau membina semula kehidupan sekiranya terus dipaksa berpindah.

“Sebab itu kami berharap pihak pemaju atau kerajaan negeri boleh mempertimbangkan untuk memberikan kami rumah baharu di kawasan ini sebelum kami berpindah.

“Pampasan yang ditawarkan iaitu sebanyak RM48,000 tidak memadai untuk kami mencari rumah baharu di kawasan ini dan meneruskan kehidupan kami di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Malik serta penduduk Kampung Paya yang terlibat dengan pengusiran itu mengadakan demonstrasi aman di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Selain bantahan aman, mereka turut menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk dipanjangkan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sempena sidang DUN yang bermula hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sazali Hanafi, 63, berkata, pampasan sebanyak RM48,000 yang ditawarkan kepada penduduk tidak memadai untuk mereka mencari kediaman baharu termasuk di kawasan asal mereka di Teluk Kumbar.

Malah katanya, projek perumahan baharu yang dirancang di tapak asal kampung mereka juga akan dijual pada harga bermula RM72,000 iaitu jauh lebih tinggi daripada nilai pampasan ditawarkan kepada mereka.

“Kami bersedia berpindah jika kerajaan negeri dan pihak pemaju dapat menawarkan kami unit di projek perumahan tersebut kerana ini adalah tempat asal kami dan kami tidak mahu berpindah dari sini,” katanya yang bekerja sebagai nelayan.

Bagi ibu tunggal, Rodiah Shuib, 65, pula, dia turut merayu pihak berkenaan dapat menyediakan penempatan baharu kepadanya di kawasan tersebut sebelum langkah pengusiran dilakukan.

Dia yang sudah menetap di situ lebih 50 tahun lalu bimbang jika terpaksa berpindah dan memulakan kehidupan di tempat lain apatah lagi dia tidak mempunyai pendapatan kerana tidak lagi mampu bekerja dan hanya bergantung hidup kepada dua anaknya.

“Saya masih lagi dalam kesedihan selepas kehilangan anak akibat Covid-19 baru-baru ini, dan arahan supaya saya mengosongkan rumah sehingga pertengahan bulan depan makin membuatkan saya sedih dan tertekan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya