1MDB: ‘Seperti mengadu barang hilang kepada pencuri’ - Utusan Malaysia

1MDB: ‘Seperti mengadu barang hilang kepada pencuri’

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd. Bakke Salleh memberitahu beliau berasa terkekang untuk membuat laporan mengenai penyelewengan dana syarikat itu kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.).

Tambahnya, beliau juga merasa tidak selesa untuk bersemuka dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyuarakan syak wasangkanya.

1MDB merupakan milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.) dan telah memberi kuasa kepada Najib untuk menjadi wakilnya.

“Perkara yang mengekang saya daripada membuat sebarang laporan (mengenai penyelewengan dana) kepada MoF Inc. adalah kerana saya akan membuat laporan mengenai Perdana Menteri (Najib). Ia merupakan sesuatu yang tidak menyenangkan.

“Saya juga tidak boleh sewenang-wenangnya bersemuka dengan Najib dan cakap saya mengesyaki awak (melakukan penyelewengan). Ia sangat-sangat tidak menyenangkan dan ini yang membuatkan saya ingin meletakkan jawatan serta-merta,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Sri Ram kemudian menggelar keadaan itu seperti ‘mengadu kehilangan barang kepada pencuri’.

Menurut Mohd. Bakke, selepas meletakkan jawatan pada 19 Oktober 2009, beliau beberapa kali berjumpa Najib dalam beberapa acara rasmi namun Najib tidak pernah bertanya apa-apa berkaitan peletakan jawatannya itu.

“Najib tidak pernah bertanya mengenai kenapa saya letak jawatan, kami berurusan seperti biasa, seolah-olah tiada apa yang berlaku,” kata Mohd. Bakke.

Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata demikian dalam perbicaraan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Terdahulu ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Mohd. Bakke bersetuju dengan cadangan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang bukti atau dokumen rasmi yang menyokong dakwaannya bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho mewakili Najib.

Namun katanya, terdapat beberapa perkara yang mengesahkan syak wasangka beliau seperti Mohd. Bakke ada bertanya kepada bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin mengenai Jho Low dan mendapat jawapan yang menyokong dakwaan.

Ketika disoal oleh Sri Ram, Mohd. Bakke menjelaskan, Najib mempunyai nombor telefon bimbitnya namun telah menghubungi Jho Low terlebih dahulu sebelum memberikan arahan kepadanya agar Ahli Lembaga Pengarah 1MDB memastikan perjanjian antara 1MDB dan PetroSaudi (JVCo) dilaksanakan.

Sri Ram: Najib ada nombor telefon kamu?

Mohd. Bakke: Ada.

Sri Ram: Panggilan telefon daripada Najib yang kamu katakan meminta kamu agar tidak melihat kepada transaksi lama tetapi memastikan perjanjian dengan PetroSaudi berjaya datang dari telefon siapa?

Mohd. Bakke: Jho Low.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 7 Jun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya