10 lagi rakyat Malaysia jadi mangsa pemerdagangan di luar negara

10 lagi rakyat Malaysia jadi mangsa pemerdagangan di luar negara

MICHAEL Chong  menerima aduan berhubung  10 lagi kes pemerdagangan rakyat Malaysia di luar negara membabitkan wang tebusan sehingga RM300,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 10 lagi kes pemerdagangan rakyat Malaysia di luar negara dilaporkan berlaku membabitkan wang tebusan sehingga RM300,000 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa.

Kesemua rakyat Malaysia berkenaan didakwa ditahan di Kemboja, Thailand dan Myanmar yang  mana mangsa ditipu sindiket yang menawarkan mereka pekerjaan dalam bidang telepemasaran dengan gaji lumayan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong  berkata, pihaknya menerima aduan berhubung semua kes terbabit daripada ahli keluarga mangsa sejak awal bulan lalu.

Katanya, kes pemerdagangan manusia didalangi sindiket tempatan ini dilihat begitu serius dan perlu ditangani.

“Kita menerima aduan kes membabitkan wang tebusan ini masing-masing satu kes di Kemboja dan Thailand serta lapan kes diMyanmar.

“Bagi kes di Kemboja wang tebusan yang diminta ialah RM122,000 (AS$28,000) diikuti Thailand (RM300,000) dan Kemboja membabitkan wang tebusan antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi setiap kes,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Michael berkata, sindiket itu bergerak menggunakan modus operandi dengan menghubungi mangsa melalui laman sosial bagi menawarkan pekerjaan.

Katanya, mangsa yang berminat kemudian memberi maklum balas kepada sindiket sebelum mereka dibawa ke luar negara kebanyakannya melalui lorong tikus.

“Kebanyakan mereka terperangkap dengan taktik sindiket selepas ditawarkan pekerjaan dengan gaji menggunakan matawang dolar Amerika Syarikat (AS) sekitar RM13,000 (AS$3,000) hingga RM RM17,000 (AS$4,000).

“Ada dalam kalangan mangsa yang tidak percaya itu adalah penipuan sindiket walaupun sudah diberi nasihat sebelum pergi kerana terpedaya dengan tawaran gaji yang tinggi,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Michael, kadangkala mangsa turut mengajak sekali rakan sekampung secara berkumpulan untuk mengikut sindiket ke luar negara.

Justeru, katanya, ahli keluarga yang menerima panggilan daripada sindiket yang meminta wang tebusan dinasihati supaya tidak melayan permintaan mereka untuk membayarnya kerana ia menyalahi undang-undang.

Sebaliknya, kata beliau, ahli keluarga perlu membuat laporan polis dan menghubungi pihak kedutaan bagi tindakan selanjutnya.

“Sindiket akan menjanjikan bahawa mangsa selamat dan akan dihantar semula apabila menerima wang namun kita tidak boleh menasihati ahli keluarga membayar wang tebusan kerana ia menyalahi undang-undang sebaliknya mereka perlu mengikut saluran yang betul,” jelasnya.

Beliau berkata, secara keseluruhan terdapat 40 mangsa yang tertipu oleh sindiket yang kononnya menawarkan kerja di luar negara dengan tawaran gaji lumayan diterima pihaknya setakat ini.

Jelasnya, yang terbaharu adalah membabitkan 10 kes rakyat Malaysia yang kini berada di kem tahanan di Kemboja.

“Mereka ini ada dibawa oleh sindiket melalui lorong tikus melepasi Thailand hingga ke Myanmar,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya