KUALA LUMPUR: “Kami hanya berkawan”. Itu penjelasan pelakon dan pengacara, Zoey Rahman, 37, berhubung gosip cinta antara dia dan pendatang baharu, Shakira Stephen.
Kata Zoey, dia berkawan rapat dengan Shakira sejak sekian lama sebelum terputus hubungan beberapa tahun lalu. Jelasnya, mereka kembali berhubung sejak akhir-akhir ini.
“Saya kenal dia sejak dia serta program terbitan Astro, On Air. Kami lost contact, akhir-akhir ini berkawan semula. Itu sahaja.
“Kami rapat. Keluar makan. Dia juga kawan untuk saya luah perasaan.
“Kalau dia jodoh saya, saya terima. Dia baik, jujur dan bersopan santun. Kalau ada jodoh, kalau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zoey berkata demikian ketika hadir di majlis berbuka puasa anjuran Tenera Hotel, Bangi dekat sini.
Diminta mengulas tentang hubungan bersama pelakon, Zarina Anjoulie, Zoey berkata mereka masih berkawan baik meskipun sudah tidak lagi bersama.
“Jodoh tak ada. Tapi kami masih berkawan baik. Atas beberapa faktor.
“Kami masih berhubung. Buat live di Instagram bersama-sama. Ada juga yang bertanya, tentang status hubungan kami. Jawapan saya, kami masih berkawan,” jelasnya.
Dalam pada itu, pengasas produk kosmetik MikaSeries ini mengakui meskipun tidak ada desakan dari keluarga untuk melihat dia berumah tangga, ternyata kedua orang tuanya pernah menyuarakan soal itu.
Namun katanya, dia tidak terburu-buru dan menyerahkan jodoh atas ketentuan Tuhan.
“Ibu ayah ada bertanya, bila nak kahwin. Tapi, buat masa ini saya hanya nak membahagiakan keluarga dahulu.
“Kalau ada yang menggelarkan saya bujang terlajak, saya tidak fikir begitu. Dalam zaman moden sekarang ini, hanya yang kolot sahaja akan berfikiran begitu.
“Rezeki kita lain-lain. Satu-satu perkara itu, kalau membahagiakan kita, kita teruskan,” jelasnya lagi.
Selain itu juga, Zoey seboleh-bolehnya tidak mahu mengaitkan hal peribadi dengan keluarga demi menjaga nama baik mereka.
“Keluarga saya orang politik di Terengganu. Mereka ada maklumkan, kalau boleh, isu-isu sensasi begini diamkan.
“Saya kena hormati mereka. Sebab itu, kalau timbul isu begini, saya lebih senang berdiam diri,” tambahnya.