SEMPORNA: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengulangi pendirian untuk tidak bertanding di semua 222 kerusi Parlimen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, Warisan hanya akan bertanding di kawasan yang diyakini boleh menang dan bukannya di semua negeri.
“Kawasan mana kita mampu mendapat kejayaan, kita akan tanding sama ada di Kedah, Perak, Pulau Pinang mahupun tempat-tempat lain. Kita akan kaji secara mendalam.
“Jika dilihat di Johor, walaupun masanya singkat iaitu tidak sampai tiga minggu, Warisan masih mampu meraih kira-kira 3,000 undi maknanya, ada penyokong mengundi kita.
“Namun, jika dilihat Pas juga bertanding di Sabah sudah 30 tahun tapi sehingga sekarang tidak pernah menang pun,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa kebakaran penempatan sementara Kampung Bangau-Bangau hari ini.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Warisan akan memantau dan menyelidik secara terperinci kawasan yang ingin ditandingi.
“Tiada ertinya kita bertanding kalau tidak menang. Kita bukan ingin memenuhi emosi tetapi, kita perlu ada wakil rakyat yang boleh berkhidmat kepada rakyat dan negara ini, bukannya berkhidmat kepada diri sendiri.
Mengulas lanjut katanya, pada masa ini, Warisan sedang berusaha perkuatkan kedudukan mereka di peringkat negeri dan juga di Semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie turut bersimpati dengan nasib mangsa kebakaran di penempatan sementara Kampung Bangau-Bangau yang tiada lagi tempat berteduh.
Selepas kebakaran berlaku di perkampungan atas air di Kampung Bangau-Bangau pada 2015, Mohd, Shafie selaku Ketua Menteri sebelum ini telah meluluskan RM8 juta bagi pembinaan semula penempatan tersebut.
Namun sehingga kini, pembinaan semula itu masih belum dilaksanakan kerana tapak itu dikatakan tidak sesuai disebabkan aspek keselamatan.
“Kalau ada persoalan keselamatan, maka kerajaan sepatutnya uruskan. Jika rumah berdekatan boleh dijaga dengan baik, takkan di sini tidak boleh dijaga. Mereka ini penduduk tempatan bukannya orang asing,” katanya.
Kini, penempatan sementara mereka turut terbakar maka, diharap kerajaan negeri dapat memberi pertimbangan untuk mereka berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Belia dan Sukan sehingga Hari Raya Aidilfitri.- UTUSAN