Wanita tidak dilarang pakai jam tangan emas - Utusan Malaysia

Wanita tidak dilarang pakai jam tangan emas

TANGKAP layar mengenai persoalan hukum wanita memakai jam tangan emas yang disiarkan laman sesawang PMWP semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Golongan Muslimah sebenarnya dibolehkan dan tidak dilarang untuk memakai jam tangan yang diperbuat daripada emas bagi tujuan perhiasan diri atau sebagai aksesori.

Demikian pencerahan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi Irsyad Al-Fatwa yang dimuat naik dalam laman sesawang rasmi agensi berkenaan semalam.

“Ia tidak termasuk kategori peralatan perkakas kerana pengharaman emas bagi perempuan hanya melibatkan isu bekas makanan dan minuman seperti pinggan dan mangkuk. ijmak ulama turut bersepakat mengharamkan penggunaan bekas buatan emas dan perak itu untuk kegunaan makan dan minum tidak kira sama ada lelaki atau wanita, Bahkan azab dahsyat akan menimpa sesiapa yang minum daripada bekas diperbuat daripada dua logam itu berdasarkan hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Ummu Salamah,” jelas agensi itu.

Jumhur ulama juga melarang segala jenis perkakas lain yang berasal daripada emas dan perak bagi kegunaan bersuci, mandi, sebagai bekas bara atau untuk kencing terus ke dalamnya, begitu juga penggunaan sebagai bekas celak selain tali pinggang yang menghiasi rumah atau kedai serta bekas perkasas itu dijadikan pula sebagai perhiasan dalam acara majlis tertentu.

Umat Islam juga diingatkan, mereka yang makan dan minum daripada perkakas dua logam itu menyerupai amalan orang kafir berdasarkan hadis Nabi SAW diriwayatkan Huzaifah alYaman.

Takrif perkakas daripada perkataan ina’ dalam bahasa Arab yang digunakan pelbagai hadis tersebut menurut kamus Mu’jam al-Wasith merujuk kepada mangkuk untuk makan dan minum.

“Wanita boleh memakai jam tangan emas yang diharuskan bagi tujuan perhiasan semata-mata, manakala untuk lelaki pula, hukumnya masih kekal adalah haram. Ini berdasarkan hadis diriwayatkan Abi Musa yang memetik sabda Rasulullah SAW bersabda bahawa telah dihalalkan emas dan sutera bagi wanita tetapi diharamkan bagi lelaki,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN