MUAR: Seorang wanita menangis kesyukuran selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati ke atasnya bagi kesalahan membunuh suaminya, lima tahun lalu.
Tertuduh, Nur Hidayah Abdullah, 22, hanya mampu menzahirkan perasaan sebak sebaik sahaja mendengar keputusan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Awang Armadajaya dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi tertuduh yang melakukan kesalahan ketika masih di bawah umur iaitu pada usia 17 tahun.
Tertuduh ditakrifkan sebagai kanak-kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dan tidak boleh dijatuhi hukuman mandatori.
Mengikut pertuduhan, Nur Hidayah didakwa membunuh suaminya, Mohd. Firdaus Md. Sallehuddin di sebuah rumah beralamat No 130 A, Jalan Indah 6, Taman Pertama Indah, Sungai Abong, di sini, kira-kira 1.30 petang pada 17 Oktober 2017.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh ditahan penjara selama yang diperkenan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana kesalahan dilakukan di dalam negeri ini.
Tertuduh boleh merayu kepada Lembaga Pengampunan dan Sultan Johor untuk sebarang keringanan hukuman atau memendekkan tempoh tahanan kepada tertuduh.
Selepas mendengar rayuan daripada peguam bela dalam prosiding berkenaan, Awang Armadajaya menasihati Nur Hidayah untuk menjadi insan lebih baik selepas ini setelah mendapati kehidupan lalu wanita itu penuh dengan duka dan kesukaran.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod dan Mustaqim Sukarno, manakala tertuduh diwakili peguam Yoong How Kiat.
Terdahulu, kejadian itu menggemparkan ramai pihak selepas wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu menikam mati suaminya yang baharu dikahwini kira-kira lima bulan. – UTUSAN