Wanita ‘kaki gajah' sudah boleh berjalan

Wanita ‘kaki gajah’ sudah boleh berjalan

ROSMIZA Awang (kiri) berjalan menggunakan tongkat sambil disaksikan kakaknya, Rubiah semasa ditemui di Kampung Kubang Bunut, Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Derita Rosmiza Awang Mat, yang kaki kanannya membesar hingga seberat 100 kilogram selama 28 tahun berakhir selepas dia selamat menjalani pembedahan, bulan lalu.

Rosmiza, 40, selamat menjalani pembedahan untuk membuang lebihan daging di bahagian kaki kanannya itu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini pada 10 Mac lalu.

Ketika menerima kunjungan Utusan Malaysia hari ini, Rosmiza berkata, sejak itu dia kini sudah mampu berdiri dan berjalan dengan bantuan tongkat berbanding terpaksa menggunakan kereta sorong sebelum ini.

“Syukur Alhamdulillah pembedahan selama tiga jam yang bermula pada pukul 10 pagi pada 10 Mac lalu berjalan lancar walaupun sebelum itu, saya diberitahu berdepan risiko komplikasi lain oleh doktor.

“Saya dibenarkan pulang ke rumah pada 20 Mac lalu dan sehingga hari ini kesihatan saya semakin baik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Bunut, Pengkalan Pasir di sini.

Rosmiza berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan dan menitipkan doa kepadanya sebelum menjalani pembedahan tersebut.

“Nampaknya, sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut kelak, saya sudah tidak perlu duduk atau terbaring di atas tilam lagi,” katanya dengan wajah ceria.

KERATAN laporan Utusan Malaysia.

Pada 18 Februari lalu, akhbar ini melaporkan bagaimana gigitan nyamuk pada kaki kanan, 28 tahun lalu mengubah hidup Rosmiza apabila bahagian tersebut membengkak dan membesar sehingga seberat 100 kilogram.

Mahu tidak mahu, anak bongsu daripada tujuh beradik itu terpaksa menghabiskan masa mudanya dengan hanya duduk di atas tilam selain perlu menggunakan sebuah troli khas jika mahu bergerak ke mana-mana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN