KUALA LUMPUR: Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar optimis Jawatankuasa Khas Parlimen dapat membentangkan hasil laporan penelitian Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti dalam tempoh sebulan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, ini kerana segala draf RUU tersebut sudah sedia ada sebelum ini.
Justeru, jawatankusa itu hanya meneliti akta itu dari sudut undang-undang dan membincangkan persoalan yang dibangkitkan oleh semua pihak dalam Sidang Khas Dewan Rakyat, 11 April lalu.
“Jawatankuasa hanya bekerja menilai daripada sudut undang-undang saja, jadi tidak ada menilai perkara-perkara lain lagi.
“Tetapi ada juga seperti cadangan dan idea baru yang dibawa oleh ahli, maka itu diambil kira oleh pihak jawatankuasa.
“Setakat ini, jawatankuasa itu hanya baru bersidang sekali iaitu pda 15 April lalu dan kita ada lagi persidangan esok dan selebihnya.
“Namun, saya minta maaf kerana saya tak boleh keluarkan apa yang telah kita bincangkan dalm jawatankuasa itu, melainkan laporan itu sudah dibentangkan di Dewan Rakyat dan menjadi public document,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas hadir dalam Program Pemukiman Agensi di bawah Kluster Parlimen dan Undang-Undang.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, meskipun pihaknya bersedia, tetapi sambutan perayaan yang bakal disambut dalam masa terdekat dilihat boleh mengganggu perancangan.
“Kita bersedia dan atur, tetapi masalah kita adalah Hari Raya dan Hari Keamatan. Jadi tak akan nak adakan persidangan masa itu.
“Kedua, kuasa untuk mengadakan Sidang khas di Parlimen ialah di bawah Perdana Menteri. Biasanya Perdana Menteri akan berbincang dengan Jemaah Menteri dan kalau Jemaah Menteri bersetuju tarikh-tarikh yang tertentu, maka Perdana Menteri akan umumkan.
Dalam pada itu, Wan Junaidi juga memaklumkan beliau telah membentangkan kepada Jemaah Menteri tentang perkembangan cadangan pindaan undang-undang berhubung Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan) dan Kuasa) 1952 serta Skim Perkhidmatan Parlimen dan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen berhubung cadangan mewujudkan perkhidmatan sendiri bagi Parlimen Malaysia.
“Saya menyasarkan supaya RUU itu dapat dibahaskan dalam sesi sidang Parlimen pada Julai ini,” ujarnya. – UTUSAN