Waktu terbaik adakan PRU15, Mohamad ulang pandangan

Waktu terbaik adakan PRU15, Mohamad ulang pandangan

MOHAMAD Hasan ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) selepas 31 Julai 2022, banyak pihak berpandangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kini hanya menghitung hari.

Malahan Parti DAP menerusi Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook secara terbuka berkata, parti itu kini bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlakunya pembubaran Parlimen pada awal Ogos akan datang.

Bagaimanapun, bagi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula, beliau sekali lagi mengulangi pandangan bahawa tempoh sekarang sehingga Jun depan merupakan waktu terbaik untuk PRU15 diadakan.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO menjelaskan, ia berdasarkan ‘faktor semangat’ dalam kalangan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) selepas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor selain parti pembangkang yang kini dalam keadaan berpecah belah.

Mood feeling good itu masih ada, ketika ini juga kita lihat parti pembangkang dalam keadaan bercempera (pecah belah), jadi sebagai perancang kepada parti, ini waktu terbaik diadakan PRU15.

“Kita ikut window fasa berfasa, windownya dari sekarang sehingga Jun, kalau lebih (dari tempoh itu) kita tengok window lain sebab dinamik politik berubah-ubah, kita tak boleh kata keadaan ini berpanjangan sehingga akhir tahun atau tahun depan, perlu kaji dengan teliti,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan selepas menghadiri Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas debat di antara Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diadakan pada 12 Mei depan, Mohamad berpandangan, isu kesejahteraan rakyat perlu lebih diutamakan dari isu berdebat berkenaan.

“Saya tidak tahu menahu tentang itu, bagi saya debat-debat ini membuang masa sahaja, buat apa mahu berdebat-debat yang penting kita bersama bersetuju untuk melihat supaya kesejahteraan dan kepentingan rakyat itu menjadi keutamaan.

“Kita berdebat menang kalah itu cerita lain, apa gunanya berdebat tetapi rakyat masih lagi terbeban dan kesejahteraan mereka masih tidak mendapat perhatian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya