PUTRAJAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sepatutnya dilibatkan bersama dalam sebarang usaha penamaan sesuatu tempat yang bercirikan penjajah kepada citra tempatan.
Perkara itu disuarakan tokoh persuratan Melayu, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan kerana dibimbangi pihak berkuasa tempatan (PBT) kurang kepakaran dalam bidang peristilahan.
“DBP pun bersedia dan sepatutnya dirundingi bagi proses penamaan tempat baharu atau pertukaran nama sedia ada agar tampak jati diri nasional,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Baru-baru ini, seorang tokoh sejarah tanah air, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican mencetuskan polemik apabila membangkitkan semula isu nama bandar berunsur kolonial.
Ini termasuk Georgetown dan Butterworth di Pulau Pinang serta Port Dickson di Negeri Sembilan yang didakwa warisan penjajah agar minda generasi muda melupakan nama asal.
Padahal banyak tempat di Malaysia diubah antaranya Anson Bay kepada Teluk Intan di Perak, Port Swettenham (Pelabuhan Klang, Selangor) dan Jesselton (Kota Kinabalu, Sabah).
Cadangan ini disuarakannya susulan kejayaan Kerajaan Negeri Melaka menukar nama St. Paul Hill kepada Bukit Melaka tanpa terjejas status tapak warisan dunia UNESCO di bandar raya itu.
Ditanya kenapa ada pemaju taman perumahan atau kawasan perbandaran baharu lebih cenderung nama asing khususnya dari Barat, Awang merujuk kepada kekangan perundangan.
Antaranya Akta DBP perlu segera dipinda agar agensi itu diberikan lebih kuasa berbanding ketika ini masih lagi di bawah undang-undang kecil PBT yang kemungkinan banyak ketirisan.
“Justeru, saya gembira pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika penutup Perhimpunan Agung UMNO bulan lalu berhubung isu pindaan akta ini,” jelasnya
Katanya, masyarakat juga perlu sedar penamaan sesuatu lokasi berkait erat dengan identiti penduduk sendiri dan lebih sedih, tinggalan kolonial menghakis semangat tersebut.
Malangnya, sikap mentaliti terlalu rendah diri terhadap legasi nama peninggalan penjajah menggagalkan perancangan tersebut bahkan ada membanggakan pula nama itu lebih baik.
Mengulas lanjut, Awang yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP menambah, pihaknya ada buku khas Siri Pedoman BM: Nama Indah serta Nama Khas dan Iklan untuk rujukan.
Beberapa asas ujarnya, boleh dijadikan panduan penamaan tempat sebagai menonjolkan jati diri kawasan antaranya nama tokoh agama, pendidik, pemimpin berjasa dan sebagainya.
“DBP juga ada menerbitkan sebuah buku khas menjelaskan isu ini antaranya Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan,” katanya. – UTUSAN