Virus sudah tiada, jantung anak pula bermasalah - Amyra Rosli

Virus sudah tiada, jantung anak pula bermasalah – Amyra Rosli

AMYRA ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon berbakat besar, Amyra Rosli terus berdepan ujian apabila anak keduanya, Ayra Aryssa, 2, disahkan mengalami masalah jantung selepas dijangkiti virus Kawasaki lebih seminggu lalu.

Amyra atau Nur Amira Izzati Rosli, 30, memaklumkan, Ayra Aryssa terpaksa menjalani rawatan intensif termasuk diberi sejumlah besar ubat-ubatan untuk membantu badannya pulih seperti sedia kala.

“Doktor memaklumkan virus tersebut sudah tidak ada dalam badan Ayra. Bacaan darah juga sudah stabil. Cuma sekarang ini, jantungnya terkesan dan mula berair kerana saluran darah mengembang.

“Dia juga masih demam, suhu badan kadangkala mencecah sehingga 39 darjah Celsius. Badan masih membengkak dan tak boleh berjalan. Memang fizikalnya berubah, tidak kurus seperti sebelum ini.

“Setiap hari dia diberikan ubat-ubatan. Ada lebih kurang dalam 10 biji kesemuanya. Badannya belum mampu pulih sendiri. Saya tak sanggup tengok dia menangis kesakitan, sampai tak berair mata. Tetapi doktor kata itu sahaja prosedur yang perlu dilakukan untuk kesembuhannya,” luahnya kepada Utusan Malaysia.

AYRA ARYSSA

Pada 6 April lalu, Ayra Aryssa dibawa ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur selepas demam panas dengan suhu badan mencecah 41 darjah Celsius.

Kemudian, pada 10 April lalu, Amyra dan suami, Amar Baharin bergegas ke hospital apabila dimaklumkan bacaan oksigen anak mereka itu secara tiba-tiba menurun.

Dalam pada itu, Amyra juga memaklumkan bahawa doktor mengesahkan bahawa Ayra Aryssa mengalami jangkitan luar biasa yang mengakibatkan dia terpaksa dirawat dengan cecair intravenous immune globulin (IVIG) dalam kadar yang tinggi.

“Doktor sahkan bukan jangkitan biasa. Ayra juga perlu dirawat dengan IVIG sehingga 16 botol. Saya kena tabah untuk melihat dia sembuh. Tutup mata, hari-hari darah dia diambil. Sebenarnya, memang tak sanggup. Tetapi saya kena akur.

“Saya terpaksa lupakan waktu untuk rehat. Dalam keadaan sekarang, terlalu banyak untuk difikirkan. Dengan pindah rumah lagi. Penggambaran lagi.

“Tapi saya percaya, ujian yang Allah bagi ini dia sertakan dengan jalan yang dia mudahkan. Saya bersyukur. Sebelum Ayra sakit, saya sakit terlebih dahulu sampai tak mampu berjalan. Sekarang saya sembuh dan mampu jaga dia. Saya tak dapat bayangkan kalau saya dan Ayra sakit dalam waktu yang sama,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Amyra juga bersyukur kerana diberi kekuatan, selain menerima banyak doa dan kata-kata semangat daripada masyarakat yang prihatin dengan keadaan anaknya.

“Ya Allah. Ramai sangat yang mendoakan. Bukan sahaja yang berada di Malaysia, malah juga yang berada di Mekah. Saya rasa terharu. Tak tahu macam mana hendak balas jasa baik semua yang mendoakan. Saya sebak membaca doa-doa mereka.

“Saya kena kuat. Saya cakap pada Amar, tolong beri saya kekuatan. Saya sudah seminggu tak jumpa anak sulung kerana perlu berada di hospital.

“Apa pun saya letak kepercayaan kepada Allah SWT. Saya serahkan kepada doktor pakar yang merawat. Mungkin inilah jalannya, saya reda dan akur dengan ketentuan-Nya,” tambahya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya