PETALING JAYA: Ketiadaan akses ke pusat tahanan imigresen didakwa menjadi punca utama Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) tidak mempunyai maklumat terhadap tahanan Rohingya yang melarikan diri dari depoh Imigresen di Sungai Bakap, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, organisasi antarabangsa itu yang turut berpangkalan di Kuala Lumpur menyatakan rasa terkejut dan sedih dengan laporan kematian enam pelarian, termasuk dua kanak-kanak ketika cuba melarikan diri dari depoh tersebut.
Mereka menyifatkan kesemua pelarian yang ditahan di depoh imigresen Sungai Bakap serta pusat-pusat imigresen lain di negara ini sangat memerlukan perlindungan dari UNHCR.
“Pada masa ini, UNHCR tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian atau individu yang terlibat, khususnya kerana belum mendapat kelulusan daripada pihak imigresen untuk mengakses mana-mana pusat tahanan imigresen di Malaysia sejak Ogos 2019.
“Ini malangnya telah menghalang UNHCR daripada bertemu dengan individu yang ditahan bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan perlindungan antarabangsa dan membantu pembebasan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, UNHCR bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi membangunkan suatu alternatif berbanding meletakkan pelarian di pusat tahanan imigresen, khususnya untuk pelarian kanak-kanak dan warga tua.
“Merampas kebebasan individu untuk menghalang orang lain daripada memasuki negara adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperikemanusiaan. Mencari suaka bukanlah satu tindakan yang menyalahi undang-undang.
“Dalam semua kes, langkah menahan pelarian harus menjadi langkah terakhir dan hanya dilakukan jika perlu dan munasabah dalam semua keadaan. Alternatif perlu dipertimbangsebelum menggunakan kaedah pusat tahanan,” katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan Malaysia telah memberikan layanan yang baik termasuk menyediakan penginapan, makan dan minum kepada pendatang asing etnik Rohingya di negara ini.
Katanya, tidak wajar jika ada pihak yang menyalahkan kerajaan kononnya memberi layanan yang buruk sehingga tahanan Rohingya melarikan diri dari depoh Imigresen di Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Sebaliknya, katanya, mereka ditangkap kerana tidak ada dokumen yang sah dan ditahan dalam tempoh yang lama kerana mahu mereka sedar terhadap hukuman yang dikenakan jika datang ke negara ini tanpa dokumen yang sah. – UTUSAN