Undang-undang anti lompat parti perlu diwujudkan di peringkat Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Undang-undang anti lompat parti perlu diwujudkan di peringkat Negeri Sembilan

LOKE Siew Fook ketika berucap membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja sewaktu Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Satu undang-undang khusus berkaitan anti lompat parti dilihat perlu diwujudkan di Negeri Sembilan sebagai jaminan situasi lompat parti yang berlaku di Persekutuan sebelum ini tidak berulang di peringkat negeri.

Loke Siew Fook (PH-Chennah) berkata, walaupun pindaan Perlembagaan Persekutuan yang akan digubal kelak berkaitan anti lompat parti turut melibatkan negeri-negeri di bawah Kerajaan Persekutuan, namun adalah lebih elok untuk kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah proaktif supaya ada juga undang-undang khusus mengenainya di peringkat negeri.

“Saya mahu saran dan nyatakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada hari ini adalah supaya, kerajaan negeri mesti mengambil langkah segera, untuk menggubal undang-undang sama di peringkat negeri iaitu melalui pindaan kepada undang-undang tubuh kerajaan Negeri Sembilan.

“Kerajaan negeri perlu mengambil langkah yang proaktif. Sejurus selepas Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan Akta Anti Lompat Parti. Kerajaan negeri boleh mengarahkan penasihat undang-undang negeri untuk menggubal satu enakmen ataupun pindaan terhadap undang-undang tubuh kerajaan negeri, terpulang apakah mekanisme yang terbaik.

“Saya harap ia dapat dibawa ke DUN secepat mungkin, kalau Parlimen dapat meluluskan pada Mei nanti, saya melihat kalau ada keperluan kita mengadakan sidang khas untuk DUN, saya cadangkan dan sarankan supaya Menteri Besar panggil sidang khas, untuk kita luluskan sama-sama enakmen ataupun pindaan undang-undang tubuh kerajaan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja sewaktu Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini hari ini.

Siew Fook menambah, walaupun di Negeri Sembilan tidak berlaku perubahan di peringkat kerajaan negeri sejak 2018, ekoran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti, namun perlu ada jaminan melalui undang-undang supaya kerajaan negeri yang dibentuk selepas ini dapat dipertahankan sepanjang tempoh mandat diberikan.

“Di Negeri Sembilan kita bernasib baik kerana stabil sejak 2018, walaupun di Persekutuan ada pertukaran kerajaan, tetapi di Negeri Sembilan, kita telah memerintah selama empat tahun, tidak ada apa-apa perubahan di peringkat kerajaan negeri.

“Keadaan ini mesti kita pertahankan dan teruskan sehingga akhir tempoh DUN ini, supaya memberikan keyakinan kepada semua pihak, kepada rakyat, kepada pengundi dan pelabur bahawa kerajaan yang dibentuk melalui pilihan raya itu mesti dipertahankan sepanjang tempoh mandat yang diberikan itu.

“Walaupun tidak ada krisis itu di Negeri Sembilan, perlu ada jaminan melalui undang-undang supaya kerajaan yang terbentuk itu mesti stabil dan dapat melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya sepanjang tempoh yang diberikan iaitu selama lima tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya