KUALA SELANGOR: UMNO dan Pas Selangor bertekad memperkukuh hubungan di bawah ‘khemah sendiri’ walaupun parti-parti lain ‘heboh’ dengan agenda ‘khemah besar’ menjelang Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, UMNO dan Pas negeri sudah membulatkan tekad untuk bersama sebagai satu entiti di bawah Muafakat Nasional (MN) tidak kira apa ujian yang melanda gabungan tersebut.
“Kita bergabung di Selangor bukan atas dasar Perikatan Nasional (PN) tetapi kita adalah MN di negeri ini. Baru-baru ini saya berbincang dengan Pesuruhjaya Pas, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi bersama setiausahanya atas semangat kesaksamaan sebagai pembangkang di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Bersama Peniaga-Peniaga Bazar Ramadan Tanjong Karang, dekat sini semalam yang turut dihadiri Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Karang, Dr. Mohd.Zamri Mohd. Zainuldin.
Rancangan mewujudkan ‘khemah besar’ dalam kalangan parti pembangkang kini hangat diperkatakan, terutama Pakatan Harapan (PH) yang bermatlamat menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.
Noh berkata, berdasarkan perkembangan terkini, pucuk kepemimpinan kedua-dua parti tidak menghalang kerjasama MN di negeri ini atas alasan perlu bergabung bagi mengelak pertandingan tiga penjuru dengan PH atau PKR.
Sementara itu Zamri berkata, pihaknya dan UMNO Bahagian Tanjong Karang akan tetap bersama atas nama MN selaras dengan ketetapan Pas Selangor dan Pas Pusat.
“Walaupun beberapa kepimpinan Pas Kawasan telah bertukar, agenda MN tetap diteruskan di Kawasan Tanjong Karang khususnya dalam menjayakan program seperti hari ini dan akan datang,” jelasnya. – UTUSAN