UMNO Kelantan cari poster boy, calon MB terbaik

UMNO Kelantan cari poster boy, calon MB terbaik

AHMAD JAZLAN YAAKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: UMNO Kelantan masih mencari individu terbaik untuk diangkat sebagai poster boy parti itu, sekali gus menjadi calon Menteri Besar bagi menghadapi kempen Pilihan Raya Umum Ke-15.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, poster boy itu boleh jadi sesiapa sahaja baik dalam kalangan ahli dan pemimpin akar umbi mahupun pemimpin tertinggi negeri.

“Tidak semestinya dia dipilih dalam kalangan kepemimpinan UMNO Kelantan. Sesiapa sahaja ahli UMNO yang mempunyai ketokohan, berjiwa rakyat serta ada ilmu agama boleh ditampilkan sebagai calon MB dan poster boy.

“Sebenarnya menjadi kelaziman di mana mana negeri untuk Pengerusi Perhubungan diberikan ruang menjadi poster boy namun saya tidak merasakan saya layak berada di kedudukan tersebut.

“Saya percaya masih ramai anak Kelantan lebih layak dan mempunyai ilmu pengetahuan untuk membawa perubahan di Kelantan,” katanya pada Majlis Makan Coleh Bersama Pengamal Media Kelantan, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, UMNO Kelantan boleh mencadangkan sesiapa sahaja sebagai calon Menteri Besar, namun keputusan akhir terletak di tangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu juga menyangkal pandangan kononnya UMNO Kelantan ketandusan pemimpin berwibawa selepas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar parti.

“Walau pun ada yang kata kami tiada calon untuk ditampilkan sebagai Menteri Besar ketika ini, sebenarnya ada ramai pemimpin UMNO Kelantan mampu urus tadbir negeri ini dengan baik namun tidak ditonjolkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya