PONTIAN: UMNO sama sekali tidak akan menyisihkan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana beliau belum didapati bersalah oleh mahkamah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara sama juga ditetapkan kepada bekas Presiden parti yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih belum selesai proses rayuannya.
Katanya, kehadiran mereka berdua telah membantu Barisan Nasional (BN) dan UMNO memenangi banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini.
“Kedua-dua pemimpin itu sebenarnya merupakan mangsa kezaliman dan dendam politik oleh sesetengah pihak setelah kerajaan BN jatuh pada PRU-14. Kita tidak melihat mereka berdua sebagai beban kepada parti, malah kehadiran mereka telah membantu memudahkan BN dan UMNO memenangi banyak pilihan raya termasuk PRN Johor baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan penganalisis politik veteran, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling agar parti itu tidak boleh terlampau yakin dan selesa dengan kemenangan beberapa PRK dan PRN.
Tambah Dr. Zainal, selagi ada pemimpin yang mempunyai masalah di mahkamah dan terpalit dengan isu rasuah iaitu Ahmad Zahid serta Najib, UMNO dan BN tidak mampu mencapai matlamat kemenangan sepenuhnya.
Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kenyataan tersebut hanya pandangan seseorang individu kerana UMNO perlu melihat kepada isu sebenar yang berlaku kepada kedua-dua pemimpin itu.
“Mereka berdua mangsa kezaliman politik yang sengaja ditimbulkan kerana sehingga kini banyak bukti yang dibangkitkan di mahkamah mempunyai keraguan dan sebagainya,” katanya.
Mengenai kebimbangan pengundi muda yang mungkin tidak menyokong BN, Ahmad berkata, mereka telah membuktikan perkara sebaliknya pada PRN Johor lalu dengan mengundi calon-calon BN.
Katanya, pengundi muda juga mempunyai pendirian mengenai sesuatu isu dan tidak akan membuat keputusan yang merugikan dengan menyokong parti yang tidak mampu membawa kestabilan politik. – UTUSAN