PONTIAN: UMNO menyifatkan PasLeak sebagai paluan gendang perang secara senyap bagi melumpuhkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) daripada memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, walaupun pemimpin-pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menganggap perkara itu sebagai ‘sampah’ tetapi UMNO melihat sebaliknya.
Katanya, dalam berpolitik, apa juga yang direncana atau dirancang oleh sesebuah parti mempunyai tujuan tertentu bagi mengurangkan pengaruh lawan yang semakin mendapat tempat di hati rakyat.
Menurut beliau, walaupun dianggap sebagai perkara kecil, tetapi tidak bagi UMNO yang melihatnya sebagai satu cabaran kepada kepada pimpinan parti serta 3.3 juta ahli ketika ini.
“Jangan mengambil mudah atau ‘enteng’ setiap perkara yang direncanakan oleh pihak lawan kerana mereka juga berhasrat untuk menguasai semula Putrajaya selepas PRU-15 nanti.
“Seperti kata pakar seni peperangan China, Sun Tzu, ketahui musuhmu, ketahui dirimu, seribu peperangan, seribu kemenangan. Anggap PasLeak sebagai gerakan musuh sama ada benar atau tidak,” katanya ketika ditemui pada program memasak bubur manis di Parit Keroma, hari ini.
Tular di media sosial beberapa keratan dokumen didakwa merupakan minit mesyuarat Pas yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan BN.
Bagaimanapun Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyifatkan PasLeak sebagai dokumen sampah.
Manakala Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan dokumen yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, tidak kira sama ada dokumen PasLeak sebagai sampah atau tidak perlu dibesarkan ia sebenarnya tetap perlu diragui kerana sudah pasti ia sebagai salah satu strategi ‘peperangan’ pihak musuh.
“Sepertimana perancangan bagi mewujudkan Khemah Besar oleh pembangkang, pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu berwaspada dengan dokumen Pasleak yang secara tiba-tiba terdedah kepada umum.
“Dokumen ini tiada timbul di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) gagal memenangi kedua-dua pilihan raya itu, tetapi mengapa perkara ini terdedah.
“Ini tentunya menjadi dorongan kepada PN dan Pas untuk bersiap daripada awal untuk menghadapi PRU-15, setelah gabungan antara Bersatu, Pas dan Gerakan tewas teruk dikedua-dua negeri itu,” ujarnya.
Sehubungan itu, pihaknya menyokong tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang membuat laporan polis mengenai dakwaan PasLeak turut campur tangan dalam proses kehakiman. –UTUSAN