Ugut bunuh, hina polis, kelindan lori didenda RM2,100 - Utusan Malaysia

Ugut bunuh, hina polis, kelindan lori didenda RM2,100

G. PATRCIK Dass (kiri) didenda RM2,100 di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan ugutan bunuh dan menghina pegawai polis wanita. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Akibat membuat ugutan bunuh dan menghina polis, seorang kelindan lori dijatuhi hukuman denda RM2,100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus menjatuhi hukuman itu terhadap G. Patrick Dass, 36, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara empat bulan 14 hari jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Patrick Dass didakwa menakutkan secara jenayah dengan niat menyebabkan kegentaran terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Persiaran Tawas Permai 8, Taman Tawas Permai, Ipoh, kira-kira pukul 6.52 petang, 19 Disember lepas.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa berkelakuan aib dengan mengeluarkan perkataan ‘mayiru’ kepada pegawai polis wanita berpangkat Inspektor di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira pukul 8.30 malam pada tarikh sama.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, Noor Azreen menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda dan denda RM100 atau penjara 14 hari bagi tuduhan kedua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam J. K. Kala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya