PUTRAJAYA: Pemimpin-pemimpin politik muda perlu bersama mengubah persepsi negatif orang muda terhadap politik, kata Ketua Pemuda baharu DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen.
Beliau berkata, politik tidak seharusnya dilihat menerusi kanta yang negatif kerana secara asasnya, politik sebenarnya adalah tentang dasar-dasar untuk mengubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik.
Sehubungan itu, menurut beliau, pemimpin-pemimpin muda mesti menunjukkan teladan yang baik untuk menarik minat orang muda terhadap politik.
“Jika ditanya apakah itu politik, gambaran pertama yang biasa anak muda fikir adalah ia perkara yang kotor, jijik, rasuah dan pemimpin mementingkan diri sendiri.
“Jadi kita kena memberi kesedaran kepada anak muda bahawa walaupun kita cakap kita tidak peduli dengan politik, tetapi politik peduli dengan kita,” katanya sebagai ahli panel dalam ‘Sesi Jawab Jujur: Hala Tuju DAPSY’ disiarkan secara langsung di Facebook DAP malam semalam.
Pada pemilihan parti yang berlangsung baru-baru ini, beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda DAP sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dipilih sebagai Naib Ketua.
Dalam pada itu, Dr. Kelvin yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, beliau mempunyai satu impian tersendiri untuk melihat politik menjadi ‘bosan’ sekali lagi.
Jelasnya, ini kerana apabila berbicara tentang politik pada masa kini, ia menjurus kepada persepsi seperti marah-marah di Parlimen, orang bergaduh-gaduh dan skandal-skandal.
Namun begitu tegasnya, itu bukan politik, sebaliknya politik adalah dasar-dasar dan solusi-solusi untuk isu-isu harian yang dekat dengan rakyat.
“Jadi kita hendak melihat politik bosan sekali lagi yang memberi fokus kepada isu-isu ini. Ini sangat penting,” katanya. – UTUSAN