KUALA NERUS: Aliran trafik di susur keluar Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh di sini mulai perlahan susulan pertambahan kenderaan yang memasuki negeri ini sempena cuti Aidilfitri.
Tinjauan Utusan Malaysia pada pukul 12 tengah hari ini mendapati berlaku kesesakan lebih dua kilometer ke plaza tol berkenaan.
Seorang pekerja swasta, Wan Izze Wan Azmi, 30, berkata, walaupun bilangan kenderaan meningkat di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), namun keadaan masih lancar di sepanjang perjalanan dari Batu Berendam Melaka untuk ke Pasir Mas, Kelantan.
“Saya bertolak pukul 6 pagi dan tiba di susur keluar ini kira-kira pukul 1 petang untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke kampung halaman.
“Kereta memang banyak tetapi tiada kesesakan luar biasa dan saya pun boleh memandu antara 80 hingga 100 kilometer sejam (kmj) cuma terpaksa beratur panjang untuk membayar tol,” katanya ketika ditemui hari ini.
Plaza Tol Kuala Terengganu menjadi pilihan pengguna jalan raya untuk ke sekitar daerah ini di samping menjadi laluan alternatif ke Kelantan.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia turut mendapati laluan utama di pusat bandar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sesak kerana orang ramai membuat persiapan akhir menyambut Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN