PETALING JAYA: Selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik sejak 1 April 2022 dan sempena sambutan perayaan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei ini, kerajaan bersetuju memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia yang pulang berhari raya.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan langkah itu dilakukan selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya.
Menurut beliua, secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun itu melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta.
“Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi. Pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara-selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT). Ia akan bermula pada pukul 12 tengah malam pada 30 April 2022 (Sabtu) sehingga 11.59 malam, 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.
“Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi. Pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara-selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT).
“Ia akan bermula pada pukul 12 tengah malam pada 30 April 2022 (Sabtu) sehingga 11.59 malam, 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, pemberian tol percuma di Lebuhraya Utara-Selatan dan LPT juga akan diberikan juga untuk pulang semula ke kediaman masing-masing bermula pukul 12 tengah malam pada 7 Mei 2022 (Sabtu) hingga pukul 11.59 malam pada 8 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.
Sementara itu, tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.
“Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri pada tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersamasama orang tersayang.
“Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutamanya golongan berpendapatan rendah.
“Pada masa yang sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini. Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya,” katanya. – UTUSAN