Tinggal lauk dihurung lalat undang padah

Tinggal lauk dihurung lalat undang padah

MOHD. WAZIR Khalid menunjukkan makanan tidak ditutup yang boleh menyebabkan pencemaran khususnya disebabkan lalat ketika menyertai Op Bazar di Sungai Dua, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Tindakan pengendali makanan meninggalkan lauk-pauk sehingga dihurung lalat mengundang padah apabila dikenakan notis kompaun menerusi Ops Bazar di Sungai Dua, dekat sini, semalam.

Dalam operasi Cawangan Penguatkuasaan Inspektor  Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bermula pukul 5 petang itu, antara kesalahan lain yang turut dikesan ialah  telur ayam yang digunakan tidak dibasuh dengan bersih selain penggunaan tuala kotor yang boleh menyebabkan pencemaran makanan.

Inspektor Kesihatan merangkap Ketua Unit Cawangan Penguatkuasaan JKNPP, Mohd. Wazir Khalid berkata, sebanyak 25 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan terhadap pemilik dan pengendali premis bazar membabitkan kompaun berjumlah RM12,000.

“Berdasarkan pemeriksaan mengejut yang dijalankan, terdapat peniaga meninggalkan makanan jualan mereka begitu sahaja sedangkan sikap itu boleh menyumbang kepada keracunan makanan yang disebabkan lalat.

“Selain itu, ada peniaga yang tidak menitikberatkan pemakaian perlindungan diri (PPE) selain memberi alasan tidak tahu suntikan tifoid wajib diambil.

“Ramai peniaga memandang remeh isu pemakaian PPE dan suntikan tifoid sedangkan itu adalah perkara paling asas bagi individu yang mahu mengendalikan perniagaan makanan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Operasi terbabit turut disertai penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Utara dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya akan mempertingkat penguatkuasaan di bazar Ramadan bagi dalam tempoh berbaki 10 hari lagi.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) memperketat peraturan dengan menarik semula lesen dan permit perniagaan sekiranya pengendali makanan ingkar dan gagal mematuhi peraturan yang digariskan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN