KUCHING: Tindakan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak akan melemahkan parti berkenaan.
Sekretariat PSB dalam kenyataan memberitahu, walaupun tindakan tersebut sebagai alasan untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PSB masih boleh melakukannya tanpa pemimpin seperti Masir.
“Dengan besar hati kami menerima keputusan YB Datuk Masir Kujat untuk meninggalkan parti sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dan mendoakan yang terbaik untuk beliau pada masa hadapan. PSB percaya dan berpegang kepada prinsip bahawa pendirian parti, pemimpin dan ahli kita mesti mencerminkan perjuangan dan aspirasi rakyat Sarawak. Kami ingin menegaskan bahawa tiada individu yang lebih besar daripada parti dan rakyat walaupun kami menghormati keputusan beliau meninggalkan PSB untuk menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri,” jelas kenyataan itu.
Masir yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika kerajaan Barisan Nasional berkata, keputusan keluar daripada PSB dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama penyokong akar umbi di kawasannya serta beberapa faktor lain seperti ketidakstabilan politik negara yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Kenyataan itu turut menyatakan, PSB adalah parti bukan semata-mata untuk seorang pemimpin atau individu dan percaya tindakan Masir juga peluang untuk parti melatih pemimpin-pemimpin yang lain yang sedang menunggu memikul tanggungjawab yang lebih berat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
“Tidak kira apa jua cabaran dan kesukaran yang mendatangi, kita akan bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada kita semasa kita menempuh perjalanan politik ke arah objektif utama untuk menjadikan Sarawak tempat yang lebih baik untuk semua.
“Kami tidak akan goyah walaupun mengalami gangguan sementara, malah akan bergerak dan akan terus maju bersama untuk menjadi kuat dan lebih bersatu. Kami berada di sini (parti) dengan tujuan yang sama, untuk menjadi parti yang bertanggungjawab dan dihormati, yang mampu menyediakan alternatif dalam kerajaan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah negeri ini,” menurut kenyataan itu.
Katanya, PSB telah melangkah sejauh ini walaupun ia masih baru dan semangat serta setiakawan dalam parti dibina atas kerja kolektif, sumbangan dan sokongan pemimpin dan ahlinya, dengan sokongan padu serta galakan rakyat Sarawak.
Menurutnya, sokongan 139,515 rakyat Sarawak terhadap PSB semasa pilihan raya negeri Disember tahun lalu telah memberikan harapan dan keyakinan untuk masa depan parti.
Jumlah itu katanya, mewakili 18.69 peratus daripada jumlah undi dan telah meletakkan PSB sebagai parti dengan jumlah undian kedua tertinggi selepas Parti Bumiputra Bersatu (PBB).
Katanya, PSB memberi peluang kepada pemimpinnya dan kepada calon-calonnya yang mesra rakyat dan berorientasikan tindakan dengan menaruh kepercayaan kepada mereka untuk membina ‘Sarawak Baru’ yang membawa keadilan, kesaksamaan dan permainan adil untuk semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan budaya. – UTUSAN