Tiket kapal terbang mahal, PM akan umum kaedah penyelesaian - Utusan Malaysia

Tiket kapal terbang mahal, PM akan umum kaedah penyelesaian

WEE Ka Siong (lima kiri) melakukan ‘flag off’ Op Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri tahun 2022 di Dataran Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengumumkan mekanisme menetapkan harga tiket penerbangan domestik dalam masa terdekat. 

Ia sekali gus sebagai jalan penyelesaian kepada isu kenaikan harga tiket penerbangan domestik yang melambung ketika musim perayaan. 

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya & Ops Bersepadu bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitiri Tahun 2022, hari ini. 

Menurut beliau, pihaknya sudah menghantar laporan terperinci mengenai langkah penyelesaian isu berkenaan kepada Perdana Menteri untuk diteliti dan diumumkan. 

“Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), tiga syarikat penerbangan tempatan (Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia dan Malindo) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sudah berbincang mengenai isu itu sejak tiga hari lalu. 

“Mereka sudah mencapai kata putus terutama berkaitan isu kenaikan harga tiket penerbangan khususnya sepanjang musim perayaan ini,” katanya. 

Ka Siong memberitahu, langkah penyelesaian tersebut dicapai selepas mengambil kira pandangan semua pihak termasuk mengambilkira kekangan yang dihadapi syarikat penerbangan.

Ka Siong berkata, pihaknya akan terus memastikan harga tambang penerbangan domestik terus dipantau dan perubahan sudah dilihat sejak semalam. 

Menurutnya, trend kenaikan harga tiket penerbangan ini bukan hanya berlaku di Malaysia sebaliknya ia berlaku di seluruh dunia. 

“Kita tidak boleh arahkan pesawat untuk terus terbang kerana pesawat itu sudah diparkir sejak dua tahun lalu dan ia perlu menjalani proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO). 

“Kita juga melihat kepentingan antara hubungan antara Sabah Sarawak dan Semenanjung Malaysia, justeru kita kena lakukan sesuatu,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan harga tambang penerbangan domestik melonjak sehingga RM2,000 bagi penerbangan pergi dan balik.

Ia meningkat sekitar 566 peratus menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 29 April hingga 8 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya