JEMPOL: Penangkapan seorang lelaki di tepi jalan besar Felda Palong 7, di sini, pada 29 Mac lalu telah membawa kepada penangkapan seorang pengedar dadah yang digelar ‘King’ oleh penagih dadah sejam kemudian.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam serbuan kedua itu, polis berjaya menangkap seorang lagi lelaki dalam dan dalam kedua-dua serbuan itu, polis merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai keseluruhan RM 21,970.
Menurutnya, bertindak atas maklumat aktiviti dadah pada pukul 4 petang, polis menangkap seorang lelaki berusia 39 tahun di tepi jalan besar Felda 7, Gemas, dan merampas dadah jenis heroin seberat 16 gram bernilai RM720 serta menyita sebuah motosikal jenis SYM.
“Lelaki yang memiliki lima rekod jenayah berkaitan dadah itu dan bekerja sebagai buruh dipercayai mendapatkan bekalan dadah itu di dalam sebuah kebun getah Felda Palong 7, Jempol melalui seorang lelaki dengan panggilan King.
“Susulan tangkapan itu, polis menyerbu garaj kereta hadapan sebuah rumah di Felda Palong 7 dan menahan dua lelaki berusia 42 dan 48 tahun termasuk individu bergelar King yang bertindak sebagai dalang utama,” katanya dalam kenyataan.
Chang Hook berkata, dalam serbuan berkenaan, polis menemukan pula dadah jenis heroin seberat 50 gram bernilai RM2,250 dan dadah jenis syabu seberat 190 gram bernilai RM19,000.
Menurutnya, turut dirampas ialah sebuah kereta Proton Wira selain hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah itu juga memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya. – UTUSAN