PORT DICKSON: Kehadiran bulan Ramadan sentiasa akan mengukir senyuman buat anak-anak yatim kerana pada waktu inilah mereka sering menjadi golongan yang diraikan pelbagai pihak.
Sama ada agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu persendirian, masing-masing mengambil keberkatan bulan penuh mulia ketika ini dengan meraikan anak-anak yatim termasuk pada majlis berbuka puasa.
Sifat murah hati tersebut menyebabkan rumah-rumah anak yatim tidak menang tangan untuk memenuhi setiap jemputan yang diterima.
Pembantu Tadbir Yayasan Anak-Anak Yatim/Piatu Islam Daerah Port Dickson, Norbadriah Abdul Manaf, 55, berkata, pihaknya bersyukur pada sambutan Ramadan tahun ini banyak pihak yang hadir memberikan sumbangan dan menjemput anak-anak yatim untuk bersama-sama hadir pada majlis berbuka puasa.
“Kami sangat berbesar hati menerima banyak sumbangan dan jemputan. Semasa dua tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak pihak yang datang membawa sumbangan makanan dan bantuan kewangan kepada pihak kami.
“Pada bulan Ramadan tahun lalu cukup banyak jemputan berbuka puasa sehinggakan ada ketikanya jemputan bertindih dan kami terpaksa membahagikan kehadiran anak-anak yatim, syukur kerana banyak pihak tampil dan mengambil berat kebajikan anak-anak yatim,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di D’Wharf Hotel & Serviced Residence Port Dickson di sini semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar D’Wharf Hotel & Serviced Residence Port Dickson, Andy Chong berkata, pihaknya meraikan seramai 20 orang anak-anak yatim dari Yayasan Anak-Anak Yatim/Piatu Islam Daerah Port Dickson selain para jemputan lain.
“Majlis hari ini juga diadakan bagi memperkenalkan pakej bufet berbuka puasa yang kembali ditawarkan kami kepada orang ramai selepas dua tahun kami tidak menyediakannya ekoran penularan pandemik Covid-19.
“Ia juga sebagai tanda penghargaan kami kepada orang ramai yang telah memberikan sokongan kepada pihak hotel ketika berdepan suasana sukar sepanjang dua tahun sebelum ini,” katanya. – UTUSAN