Tiada tangan ghaib, kartel dalam polis - Acryl Sani

Tiada tangan ghaib, kartel dalam polis – Acryl Sani

SIDEK Hassan menyampaikan memento kepada Acryl Sani Abdullah Sani pada Majlis Apresiasi EAIC di PICC, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memberi jaminan bahawa tiada unsur campur tangan pihak luar dalam pengisian pelbagai jawatan penting pasukan itu.

Malah, beliau juga berpendapat, dakwaan konon wujud kartel dalam polis seperti didedahkan bekas penyandang sebelumnya itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador tahun lalu adalah tidak benar.

“Saya secara peribadi berpandangan tiada tangan ghaib dari luar atau kartel dalam kalangan pegawai tertentu yang mengatur perjawatan pasukan untuk diisi sejak selama ini,” tegasnya.

Beliau ditemui media selepas Majlis Apresiasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bersama Agensi Penguatkuasaan Seliaan bersempena ulang tahun ke-11, di sini hari ini.

Pada 22 Februari lalu, Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menyatakan bahawa dakwaan Abdul Hamid mengenai isu kartel itu tidak dapat ditentusahkan hasil siasatan yang dibuat.

Ia turut berdasarkan keterangan ramai saksi dan dokumen yang diperoleh oleh pihak EAIC sendiri sebelum diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali untuk rekod.

Abdul Hamid pada 18 Mac 2021, mendedahkan konon ada gerakan sekumpulan pegawai polis yang bersekongkol dengan pihak luar bagi mendominasi pasukan itu demi kepentingan mereka.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, sekiranya benar ada komplot kumpulan berkenaan dalam polis, sudah tentu situasi perjawatan pegawai di seluruh negara telah lama menjadi tidak teratur.

“Saya pun tidak nampak di mana wujud kartel itu dan dakwaan tersebut tidak sebagaimana yang digambarkan kerana memang tiada campur tangan dalam penyusunan pegawai,” jelasnya.

Beliau menambah, urusan berkenaan sejak sekian lama ada prosedur amat ketat dan juga melibatkan banyak lapisan termasuk dari polis kontinjen negeri untuk mengelak tiada penyelarasan.

Bahkan ujarnya, walaupun beliau kelazimannya dimaklumkan mengenai cadangan perubahan kedudukan pegawai tertentu, ia akhirnya akan tetap melalui Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Dari situ, ada sekumpulan panel yang akan menapis dan meneliti lagi kesesuaian pegawai dicalonkan itu bagi kelayakan mengisi perjawatan kosong selain pertukaran jabatan dalam pasukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya