PUTRAJAYA: Remaja tempatan yang tiada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi berminat menjadi mutawif profesional kini turut diberi peluang menceburkan diri dalam pekerjaan berkenaan.
Malah, mereka yang tidak tahu berbahasa Arab mempunyai potensi menyertai kerjaya tersebut menerusi diploma Profesional Mutawwif Development Sdn. Bhd. (PMD).
Pengarah Urusannya, Abd. Halim Ikhsan berkata, pihaknya menyasar melahirkan sejumlah 3,000 mutawif menjelang 2023 bagi memenuhi permintaan tinggi karier berkenaan.
“Sesiapapun boleh belajar jadi mutawif dari usia belia 17 tahun sehingga dewasa 45 tahun, waima pelajar dari institusi tahfiz yang tidak ada SPM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) di sini, malam tadi.
Pemeteraian itu membolehkan graduan program Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawwif yang diiktiraf kerajaan diserap sebagai mutawif dengan lebih 600 agensi di bawah Bumitra.
Ia adalah diploma pertama yang seumpamanya di Malaysia berasaskan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Mengulas lanjut, Abd. Halim berkata, kelonggaran kemasukan itu dibuat atas permintaan banyak pihak sendiri, namun ia dijamin tidak pun menjejaskan kualiti merit kelayakan mutawif.
“Asalkan ada minat menulis, membaca dan mengira, kami akan latih bahasa Arab secara intensif dalam masa dua tahun termasuk semester akhir buat umrah di Tanah Suci,” katanya.
Mereka yang tidak berkemampuan pula ujarnya, boleh memohon pinjaman pendidikan daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran selain menerima elaun RM400 sebulan.
Ketika ini PMD menjalinkan kerjasama dengan sembilan institusi pengajian tinggi awam yang membolehkan para penuntutnya untuk dapat belajar dalam kampus mereka sepenuh masa. – UTUSAN