MELAKA: Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri tidak akan melakukan sekatan jalan raya (SJR) sepanjang musim perayaan Aidilfitri bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Ketuanya, Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, sebanyak 120,000 buah kenderaan dijangka masuk ke Melaka sempena Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, susulan itu lebih 100 anggota trafik akan bertugas menjaga aliran dan tiada sebarang SJR dilakukan bagi memastikan kelancaran lalu lintas.
“Bagaimanapun, sekiranya berlaku kes jenayah dan sekatan ini perlu dilakukan, kita akan laksanakan,” katanya pada sidang akhbar Program Jelajah Op Selamat 18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Petronas di Semabok di sini, hari ini.
Amran memberitahu, polis juga membentuk empat Jammed Squad bagi meleraikan kesesakan yang teruk di mana-mana lokasi tumpuan.
“Setiap skuad ini terdiri daripada empat anggota dan seorang pegawai yang akan bertindak meleraikan kesesakan luar biasa, khususnya di destinasi tumpuan pelancongan. Kita harap pada perayaan ini, semua pengguna jalan raya dapat mematuhi peraturan ditetapkan untuk memastikan keselesaan bersama,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kes kemalangan maut di Melaka terus mencatatkan peningkatan sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga bulan sejak Januari lalu.
Katanya, sebanyak 48 kes direkodkan sehingga Mac, berbanding 32 kes dalam tempoh sama tahun lalu. – UTUSAN