Tiada sambutan PM di Dubai, Menteri Luar kena bertanggungjawab - Utusan Malaysia

Tiada sambutan PM di Dubai, Menteri Luar kena bertanggungjawab

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kejadian  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan  bagi urusan pelepasan pasport serta tiada liputan dan kawalan keselamatan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dikesali dan memalukan. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu tidak sewajarnya berlaku kepada  Perdana Menteri yang melakukan lawatan sulung ke negara Asia Barat  itu.

Menurut beliau, apapun alasan diberikan Wisma Putra, kegagalan mereka merancang dan mengurus lawatan sepenting itu adalah sangat memalukan.

“Wisma Putra gagal memastikan Perdana Menteri diberikan penghormatan sesuai dengan kedudukan sebagai pemimpin utama negara dan pemimpin penting sebuah negara Islam.

 “UAE adalah negara yang sangat meraikan tetamu dan sudah pasti, jika kita menggunakan segala sumber dan kekuatan jaringan persahabatan kita dengan mereka, perkara yang berlaku itu tidak akan terjadi.

 “Bukan sahaja kegagalan dari segi protokol, malahan tiadanya rencana konkrit semasa lawatan Perdana Menteri menunjukkan betapa gagalnya Wisma Putra dalam merencana kepentingan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam, Kementerian Luar Negeri memaklumkan kementerian itu memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai disebabkan kegagalan mereka menguruskan lawatan Ismail Sabri pada 29 hingga 31 Mac lalu.

 

Menyalahkan

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kenyataan kementerian menyalahkan kepada diplomat terbabit sahaja tidak profesional.

“Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah juga harus mengambil tanggungjawab terhadap semua yang berlaku. Beliau (Saifuddin) lupa bahawa, beliaulah yang memimpin Wisma Putra.

 “Segala kejadian yang berlaku di Dubai adalah masalah yang terbit daripada kegagalan beliau dalam memimpin dasar luar Malaysia yang aktif, bebas dan progresif serta memperjuangkan kepentingan antarabangsa Malaysia secara strategik,” katanya. 

 Mohamed Khaled berkata, sejak 2018, negara dan peranan antarabangsa Malaysia semakin mengecil sehinggakan ia dilihat seperti ‘a new normal’ yang asing dengan dasar luar Malaysia yang aktif sebelum ini.

 “Malaysia memerlukan kepimpinan baru yang lebih kompeten di Kementerian Luar. Prestasi semasa Menteri Luar tidak sesuai dengan pengalaman, kedudukan dan kepentingan global Malaysia. Apa lagi bila Perdana Menteri kita sendiri diperlakukan dengan cara yang tidak selayak dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin terpenting Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya