KUCHING: Kepimpinan Parti Rakyat Sarawak (PRS) sedar akan kesan yang boleh merosakkan parti dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) jika mereka tidak menguruskan konflik dalam parti secara baik.
Justeru, demi kepentingan dan perpaduan PRS, pemimpin dalam majlis tertinggi parti bersetuju dengan barisan konsensus akan mengetepikan keperluan pemilihan bagi jawatan Presiden dalam mesyuarat tri tahunan (TDC) PRS yang akan datang, kata Setiausaha Agung PRS, Datuk Ir. Janang Bungsu.
“Kata sepakat mengenai barisan kepimpinan hanya dapat dicapai selepas pengorbanan peribadi yang besar dilakukan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai dan Pemangku Presiden PRS, Datuk Joseph Salang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat PRS di sini hari ini.
John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus mempamerkan sikap yang mengagumkan dengan menawarkan diri menerima jawatan yang lebih rendah dalam barisan konsensus walaupun telah menerima banyak pencalonan untuk jawatan Presiden parti.
Sementara itu katanya, Salang telah bersetuju untuk menerima jawatan Presiden parti bagi mengekalkan keseimbangan dalam parti.
“Jika kita gagal dalam menguruskan krisis dalam parti ia boleh menjejaskan imej PRS serta imej kepimpinan politik Dayak,” tambahnya.
Jawatan Presiden PRS kosong selepas penyandangnya, Tan Sri Dr. James Jemut Masing meninggal dunia pada 30 Oktober tahun lalu pada usia 72 tahun.
Sejak itu Salang yang merupakan bekas Ahli Parlimen Julau dan Timbalan Presiden PRS memangku jawatan berkenaan.
Pada 16 April lalu media melaporkan, Janang berkata, John Sikie telah menghantar borang pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden pada TDC parti minggu depan.
PRS akan mengadakan mesyuarat TDC pada 23 dan 24 April ini di Sibu yang mana pemilihan pucuk pimpinan baharu parti akan turut berlangsung. – UTUSAN