Tiada kerjasama dengan Bersatu, elak Langkah Sheraton berulang

Tiada kerjasama dengan Bersatu, elak Langkah Sheraton berulang-Mohd. Shafie

Langkah Sheraton
MOHD. Shafie Apdal (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Semporna semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyatakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mengelak langkah Sheraton berulang.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kerjasama dengan Bersatu hanya akan menyebabkan ketidakstabilan politik di negara ini.

“Saya nyatakan kepada Tan Sri (Muhyiddin Yassin) lupakanlah, saya tidak akan bekerjasama kerana saya lihat keadaan itu boleh menjejaskan keadaan di negara ini.

“Jadi, lebih baik biarkan rakyat yang menentukan (dalam pilihan raya), bukan kita selaku ahli politik menentukan mahu masuk sana sini dan akhirnya boleh menjejaskan negara,” katanya selepas Majlis Iftar bersama golongan asnaf miskin Parlimen Semporna di pekarangan Masjid Inabah Kamal, semalam.

Mohd. Shafie berkata, sebelum ini Muhyiddin ada menyatakan hasrat bertemu dengannya namun, pertemuan itu tidak dapat dilakukan kerana beliau berada di Sabah.

Justeru, Muhyiddin menyatakan niat sebenarnya menerusi pesanan teks bahawa beliau sudah berbincang bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anthony Loke untuk melakukan sesuatu.

Langkah Sheraton

“Saya kata tak apa, jangan libatkan saya kerana saya melihat itu satu langkah yang tidak harus dilakukan lagi kerana ia sudah dilakukan lebih awal menerusi Langkah Sheraton.

“Langkah itu bukannya boleh membawa kebaikan dalam penyatuan. Tengok akibatnya pada hari ini, keadaan politik negara tidak begitu stabil sehingga menyebabkan kita kehilangan keyakinan rakyat serta keyakinan pemimpin dan pelabur luar negara dan keadaan ini membimbangkan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, ketidakstabilan politik yang berlaku tidak akan berubah selagi rakyat di negara ini tidak mengubahnya. Pemimpin tidak akan dapat mengubah keadaan kerana kuasa di tangan rakyat pada pilihan raya.

Sekiranya rakyat memilih pemimpin yang boleh memimpin dengan baik maka, ia akan dapat menyatukan rakyat di negara ini.

Jelas beliau, Malaysia perlu belajar daripada negara luar untuk memperbaiki diri dan negara ini yang sekarang berada dalam keadaan membimbangkan.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 100 orang pelajar tahfiz dan golongan asnaf miskin bagi kawasan Semporna. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya