JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) negeri ini menolak keperluan kerajaan negeri melantik Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan pengagihan bantuan yang diberi kepada rakyat setempat.
PH dan Muda Johor dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, lantikan Penyelaras DUN itu seolah-olah melangkaui peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang dipilih sendiri rakyat.
Menurut kenyataan itu, pihaknya juga percaya sebarang bantuan atau program kerajaan negeri dapat dijalankan ADUN pembangkang dan tidak perlu melalui Penyelaras Barisan Nasional (BN).
“Kami yakin semua wakil rakyat mampu mengendalikan pengagihan bantuan. Penyelaras BN mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar untuk bekerjasama dengan ADUN Pembangkang, bukannya melangkaui peranan ADUN pilihan rakyat.
“Atas prinsip dan semangat dwipartisan, semua kemudahan dan jemputan ke majlis-majlis serta mesyuarat rasmi kerajaan untuk Penyelaras BN harus diperuntukkan dan dipanjangkan kepada ADUN-ADUN pembangkang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu pelaksanaan program Bantuan Kasih Bangsa Johor di kawasan DUN pembangkang akan dikendalikan Penyelaras DUN daripada BN, manakala bagi kawasan kerajaan akan dikendalikan wakil rakyat sendiri. – UTUSAN