Tertarik langsir hingga tercabut, punca Siti Bainun mula 'naik hantu' - Utusan Malaysia

Tertarik langsir hingga tercabut, punca Siti Bainun mula ‘naik hantu’

SITI Bainun Ahd Razali ketika berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Insiden remaja Sindrom Down, Bella tertarik langsir sehingga tercabut besi langsir dikatakan menjadi titik permulaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mula marah-marah sebelum mula ‘naik hantu’ dan mendera remaja kelainan upaya tersebut.

“Pernah terjadi satu kejadian, tak ingat bulan berapa tetapi dari kejadian itu jadi punca dan Bella jadi berbeza (berubah) dan layanan pada Bella berbeza.

“Bella pernah masuk bilik kedua yang saya dan adik-adik lain tidur dan Bella pernah tertarik langsir sampai besi tercabut. Bila Siti Bainun tahu, Siti Bainun jadi marah-marah dan pukul Bella,”kata saksi pendakwaan kelima, Nahar Mahmood, 19, pada sesi soal balas oleh peguam bela, Asiah Abdul Jalil.

Asiah: Jadi lepas itu, Bella terus kena dera, disimbah air panas?
Yasmin: Didera tetapi belum disimbah air panas.

Terdahulu, Yasmin yang merupakan bekas penghuni Rumah Bonda sekali lagi menyatakan kejadian menyimbah air panas terhadap Bella adalah menggunakan cawan plastik Ikea warna kuning, cawan Starbucks dan picagari.

“Syringe (picagari) yang saiz satu hingga 15ml (mililiter),” kata Yasmin.

CONTOH cawan yang ditunjukkan kepada saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood yang dikatakan serupa dengan cawan yang digunakan untuk mengisi air panas sebelum dicurahkan kepada remaja Sindrom Down, Bella.

Menjawab pertanyaan Asiah kenapa cawan plastik Ikea yang tidak bertangkai sering digunakan untuk mengisi air panas sebelum disimbah kepada Bella dan bukannya cawan Starbucks yang bertangkai, saksi tersebut menyatakan, ia kerana cawan Starbucks tersebut hanya boleh digunakan oleh Siti Bainun.

“Sebab cawan Starbucks hanya boleh Siti Bainun yang boleh pakai, anak-anak dia pun tak boleh pakai,” ujarnya.

Selain itu, Yasmin mengesahkan keterangannya sebelum ini bahawa Bella akan dibogelkan, diikat dan dibaringkan sebelum dicurahkan air panas berwap daripada mesin Cuckoo pada bahagian tertentu.

Asiah: Jika Bella dibogelkan sebelum dicurah air panas, kenapa bahagian punggung, paha kiri dan betis kanan dan kiri dan belakang tiada parut.
Yasmin: Sebab masa itu, Bella pakai pampers (lampin) dan tidak bergerak.

Terdahulu, semasa ditunjukan gambar kecederaan pada kaki Bella, Yasmin menyatakan parut yang jelas kelihatan pada kaki mangsa ialah di di paha kanan, pergelangan kaki dan lutut (kesan akibat dipijak).

Bagaimanapun, saksi tersebut juga menyatakan dia tidak pasti sama ada jiran-jiran Rumah Bonda di Kondo Irama Wangsa ada mendengar atau melihat Bella didera di antara tempoh Mac hingga Jun 2021.

Yasmin bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Asiah bahawa sekiranya pintu gelongsor di ruang tamu dibuka, sesiapa sahaja boleh mendengar jeritan atau muzik daripada jiran-jiran sekeliling.

Saksi itu juga bersetuju bahawa bilik laundry yang dikatakan antara lokasi penderaan terhadap Bella sering dilakukan boleh dilihat oleh jiran yang bertentangan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya