PETALING JAYA: Tujuh individu berdepan detik cemas selepas terperangkap di dalam ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Bandar Baru Sungai Buloh, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 malam itu, mangsa membabitkan membabitkan lima lelaki dan dua perempuan dianggarkan berumur 20-an hingga 40-an terperangkap kira-kira setengah jam di ruang mesin ATM berkenaan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya tiba di lokasi pada pukul 12.15 tengah malam sebaik menerima panggilan pada 12.09 tengah malam.
Kata beliau, anggota bomba bertindak menghubungi ‘hotline’ bank berkenaan untuk memaklumkan ada mangsa terperangkap di ruang berkenaan.
“Pihak operator memaklumkan kepada bomba, mangsa yang terperangkap perlu menekan butang kecemasan sahaja di dalam ruang pengeluaran itu bagi membuka ‘roller shutter’.
“Sebaik ‘roller shutter’ terbuka semua mangsa dapat keluar dengan selamat tanpa sebarang masalah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu tular di media sosial satu video berdurasi 24 saat memaparkan pihak bomba sedang membantu dan berinteraksi dengan orang awam yang terperangkap. – UTUSAN