Terpaksa jual kesemua ternakan arnab selepas sangkar rosak dihempap pokok - Utusan Malaysia

Terpaksa jual kesemua ternakan arnab selepas sangkar rosak dihempap pokok

MOHD. Ku Hamidi Mohd. Pilus menunjukkan sangkar arnab ternakannya yang musnah dan rosak di Kampung Pulau, Labu, Batu 11, Seremban. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pengusaha ternakan arnab secara kecil-kecilan, terpaksa menjual kesemua ternakannya itu selepas sangkar yang menempatkan haiwan berkenaan rosak teruk dihempap sebatang pokok dalam kejadian ribut yang berlaku di Kampung Pulau, Labu, Batu 11 di sini kelmarin.

Mohd. Ku Hamidi Mohd. Pilus, 34 berkata, kejadian pada pukul 4.30 petang itu menyebabkan dua sangkar arnab miliknya yang diletakkan di belakang rumah musnah dan rosak akibat dihempap sebatang pokok rambutan.

“Saya berhasrat untuk menjual kesemua 60 ekor arnab ini bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar memandangkan perlu mengambil lebih masa membaiki sangkar ini. Setakat semalam, sudah ramai yang membeli arnab jenis pedaging dan ada juga yang membeli arnab untuk dibela,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Menurutnya, dia mempunyai sebanyak 40 ekor arnab dewasa dan 20 ekor arnab yang masih kecil melibatkan tiga jenis baka arnab termasuk Mini Rex, Chinchilla dan New Zealand White.

Sementara itu, Mohd. Ku Hamidi menjelaskan, dia mula menternak arnab selepas diberhentikan kerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

“Pada mulanya saya menghadiahkan seekor arnab kepada anak kerana dia amat menyukai haiwan tersebut. Selepas itu, saya diberhentikan kerja akibat PKP lantas saya mengambil keputusan mula mengusahakan ternakan ini bersama isteri, Nur Huda Abu Hassan, 36, dengan kos permulaan sebanyak RM8,000,” katanya.

Dalam pada itu dia memaklumkan, selepas menguar-uarkan kejadian tersebut di media sosial, ramai yang mahu membeli arnab daripadanya.

“Kami mula menerima tempahan arnab pedaging dan ada juga yang datang membeli arnab untuk dibela. Harga yang dijual RM38 bagi setiap kilogram dan RM35 kilogram (kas-kas). Sehingga hari ini, sebanyak 10 ekor arnab dewasa dan 15 arnab kecil yang masih berbaki untuk dijual,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya