Terminal Feri Antarabangsa Kukup perlu beroperasi segera - Utusan Malaysia

Terminal Feri Antarabangsa Kukup perlu beroperasi segera

TERMINAL Feri Antarabangsa Kukup yang masih belum beroperasi di Tanjung Piai, Pontian di sini. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kerajaan diminta menyegerakan proses pembukaan semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup bagi membolehkan aktiviti ekonomi kembali rancak setelah lesu selama dua tahun khususnya di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, pembukaan terminal itu akan membolehkan perkhidmatan feri dari Kukup Laut ke Tanjung Balai, Indonesia beroperasi semula.

Katanya, masyarakat peniaga di Pekan Kukup Laut termasuk pemandu kereta sewa memang mengharapkan fasiliti itu dapat dibuka segera setelah sekian lama ditutup berikutan Covid-19.

“Sejak penutupannya, peniaga di pekan tersebut telah mengalami banyak kerugian kerana ketiadaan pelancong yang datang mahupun mereka yang hendak pergi ke Tanjung Balai. Setelah masuk minggu kedua sejak pembukaan sempadan 1 April lalu, masih tiada tanda-tanda perkhidmatan feri akan beroperasi dan ini tentunya meresahkan banyak pihak.

“Aktiviti ekonomi di Kukup Laut memang mengharapkan pembukaan terminal itu sama ada kedai makan, restoran, pengurup wang, peniaga cenderamata, pemandu kereta sewa dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.

Tambah Jefridin, sepatutnya telah ada persiapan oleh pihak-pihak berkaitan apabila Perdana Menteri mengumumkan pembukaan sempadan bagi membolehkan terminal berkenaan beroperasi seperti pintu masuk lain.

“Mengikut rekod Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), kali terakhir feri membawa penumpang ke Tanjung Balai pada 19 Mei 2020 sebelum sempadan antarabangsa ditutup sepenuhnya,” jelasnya.

Tambah beliau, jika pembukaan terminal  tersebut dapat dilakukan segera ia juga akan memudahkan penduduk tempatan menziarahi saudara mara mereka di Tanjung Balai sempena Ramadan ini.

“Begitu juga bagi mereka yang ingin mendapatkan keperluan bagi persiapan menyambut hari raya di sini turut ternanti-nanti bila pembukaan terminal tersebut,” katanya.

Selain itu katanya, terdapat juga penduduk tempatan pergi ke Tanjung Balai bagi memberi sumbangan kepada anak-anak yatim, golongan kurang bernasib baik sempena bulan yang mulia ini.

Malah, terminal itu juga menjadi pilihan bagi warga negara Indonesia untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri yang biasanya akan mula balik pada penghujung Ramadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya