Tempahan lemang Ramadan meriah - Utusan Malaysia

Tempahan lemang Ramadan meriah

SEREMBAN 2 April - TALIB Ibrahim (kiri) menunjukkan lemang yang ditempah pelanggan di gerai lemangnya di Taman Desa Kiara, Sikamat, Seremban. - UTUSAN/ NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas lebih dua tahun negara berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19, pengusaha lemang kini mula lega tempahan daripada orang ramai untuk makanan tradisional itu semakin meningkat.

Talib Ibrahim, 63, berkata, sebanyak 25,000 batang lemang bakal dijualnya sepanjang Ramadan dan dijangka meningkat menjelang Hari Raya Aidilfitri berbanding dua tahun sebelum ini ketika pandemik Covid-19. 

“Kehadiran Ramadan sememangnya dinantikan umat Islam seluruh negara apatah lagi tahun pertama negara beralih ke Fasa Peralihan ke Endemik.

“Alhamduillah, hari pertama meniaga hari ini kami telah terima tempahan 1,000 batang lemang” katanya ketika ditemui di gerai lemangnya di Taman Desa Kiara, Sikamat di sini.

Talib yang mengusahakan perniagaan lemang itu sejak enam tahun lalu memberitahu, pada bulan Ramadan sebelum ini hasil jualannya merosot kerana orang ramai hanya duduk di rumah namun kemeriahan tahun ini berbeza.

“Insya-Allah tahun ini, diharapkan jualan lebih baik daripada dua tahun sebelum ini di mana semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir 50 peratus hasil jualan merosot,” katanya. 

Menurut Talib, walaupun berlaku kenaikan harga bahan mentah bagi santan dan pulut, tetapi dia tidak menaikkan harga serta mengekalkan kualiti rasa yang sama.

“Persiapan awal dilakukan dengan menempah buluh dari Jelebu sejak dua minggu lalu. Harga tetap sama iaitu antara RM12 hingga RM15 bagi satu batang lemang bergantung kepada saiz. 

“Biasanya sehari kami guna 60 kilogram beras pulut boleh dapat sekitar 200 batang lemang, tetapi hari pertama hari kami dapat sambutan menggalakkan dengan tempahan 1,000 batang lemang,” katanya.

Talib yang berasal dari Kedah dan sudah menetap 28 tahun di Seremban menjalankan perniagaan lemang itu setiap tahun dengan bantuan jiran dan rakan-rakan.

“Kami juga ada menjual rendang ayam dan daging ‘Negeri Sembilan’ yang boleh dinikmati dengan lemang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya