JOHOR BAHRU: Tindakan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang melepaskan tembakan ke arah sebuah lori membawa muatan arak tidak bercukai seperti yang tular di media sosial adalah wajar.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, hal itu kerana tembakan berkenaan dilepaskan selepas terdapat ancaman keselamatan terhadap pegawai bertugas.
Menurut beliau, sebanyak tujuh das tembakan telah dilepaskan dalam usaha untuk memaksa pemandu lori berkenaan memberhentikan kenderaannya.
“Tindakan itu wajar kerana lori tersebut telah memberi ancaman, pemandu berhenti mengejut dan mengundurkan diri sehingga merempuh kenderaan jabatan, jadi apabila diancam ada kewajaran untuk melepaskan tembakan.
“Difahamkan sejumlah tujuh tembakan telah dilepaskan dengan tiga kesan ditemukan, satu daripadanya turut mengena tayar belakang lori tersebut tetapi ianya tidak pecah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam Johor, di sini hari ini.
Tambah Abdul Latif, lori 10 tan dengan muatan 22,400 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.8 juta itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran terdekat di selatan tanah air untuk kegunaan pasaran tempatan.
“Kita juga masih siasat berapa lama tempoh sindiket ini telah beroperasi namun dipercayai mereka kembali aktif selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April lalu.
“Kita tidak menyangkal kemungkinan ada penglibatan pihak tertentu dan sekiranya dikenalpasti, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Menurutnya, suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 136(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya berjaya menahan seorang pemandu lori berusia 44 tahun yang membawa muatan arak seludup itu di Jalan Tuas-Lima Kedai, Iskandar Puteri, kelmarin.
Menurut beliau, pemandu lori lelaki warga tempatan itu berkenaan dikenakan tahanan reman selama 10 hari bermula semalam sehingga 1 Mei depan.
“Polis akan bekerjasama dengan Kastam untuk memastikan saki baki ahli sindiket penyeludupan termasuk beberapa kumpulan tonto terlibat dibanteras kerana mereka telah mengancam keselamatan penguatkuasa,” jelasnya.-UTUSAN