Tee Siew Kiong sedia berdepan tindakan tatatertib MCA - Utusan Malaysia

Tee Siew Kiong sedia berdepan tindakan tatatertib MCA

TEE Siew Kiong menunjukkan surat dipanggil menghadiri Perbicaraan Jawatankuasa Tatatertib MCA pada sidang akhbar di Danga Bay, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua MCA Bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong sedia hadapi sebarang tindakan yang akan dikenakan terhadapnya selepas dipanggil menghadiri Perbicaraan Jawatankuasa Tatatertib MCA, esok.

Siew Kiong berkata, perkara itu termasuk kemungkinan dilucutkan keahlian di dalam parti berkenaan selepas didakwa tidak mematuhi arahan kepimpinan parti semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.

“Realitinya, saya berasa amat sedih dan terkejut selepas menerima surat daripada Jawatankuasa Tatatertib MCA yang meminta saya menghadiri perbicaraan. Difahamkan ini berpunca daripada sidang akhbar yang saya adakan pada 25 Februari lalu, sedangkan saya hanya memohon maaf kepada penyokong dan pengundi serta memberi penjelasan mengapa saya tidak dinamakan sebagai calon dalam PRN Johor.

“Walaupun tidak bertanding, saya tetap memberi sokongan penuh dan membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan Parlimen Pontian,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya di Danga Bay, di sini hari ini.

Tambah Siew Kiong, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada mengukuh imej dan jentera parti daripada membazirkan masa dan tenaga untuk memberi tekanan kepada rakan seperjuangan.

“Pencapaian MCA dalam PRN Johor hanyalah satu permulaan, sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka tidak lama lagi. Presiden haruslah meningkatkan semangat ahli dan kepimpinan di peringkat akar umbi kerana lantikan calon-calon PRN Johor bukan daripada pemegang jawatan di peringkat bahagian telah mengecewakan ramai pihak.

“Saya hanyalah ahli biasa, betulkah Presiden mahu buang saya dan lucutkan keahlian saya yang merupakan satu-satunya hubungan dengan parti ini?” Soalnya.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah turut meminta Ka Siong agar mengetuai parti dengan mengambil langkah terbaik dalam mengembalikan kegemilangan parti dan bukan melepaskan kemarahan terhadap dirinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN