KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan definisi Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu merangkumi anggota Dewan Negara yang dilantik Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau menegaskan, perkara itu amat penting kerana anggota Senator yang dilantik mewakili parti-parti tertentu menerusi pengundian sewaktu sidang DUN.
Katanya, buat masa ini cadangan undang-undang Anti Lompat Parti hanya melibatkan ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebaliknya tidak kepada anggota yang bergelar Senator.
“Saya mencadangkan agar definisi lompat parti perlu merangkumi Dewan Negara, hal ini kerana parti pun terkesan dengan sikap mereka. Tetapi dimaksudkan Dewan Negara ini boleh dikecualikan kepada senator yang mewakili kumpulan minoriti dan ras tertentu.
“Ada anggota Dewan Negara mewakili parti-parti tertentu dan dipilih menerusi pengundian sidang DUN. Maka tafsiran lompat parti wajar membabitkan Dewan Negara yang dilantik DUN selain mengambil kira ahli Dewan Rakyat dan ADUN,” katanya ketika membahaskan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, beliau bersetuju terhadap pandangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen yang mengosongkan kerusi termasuk yang melompat bertanding tanpa menunggu sehingga tempoh lima tahun.
Jelasnya, mereka mempunyai hak bertanding sekiranya merasakan ada kekuatan dan sokongan dalam kalangan rakyat.
“Kalau mereka merasakan kuat, seseorang bekas wakil rakyat boleh bertanding. Walaupun mereka dipilih atas sebab parti, bukannya atas dasar peribadi.
“Jadi jangan rasa diri kuat. Kalau kuat, maka bertandinglah sebagai calon bebas,” katanya. – UTUSAN